Featured

About this Blog

Teresa dibebas, Najib harap reda isu tahanan ISA

BEBAS... Teresa Kok keluar dari Balai Polis Jalan Travers, Brickfileds selepas dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) tengah hari tadi.

Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Parlimen DAP kerusi Seputeh, Teresa Kok dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) hari ini selepas ditahan selama lapan hari.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berharap pembebasan Teresa akan dapat meredakan isu penahanan di bawah akta itu.

Najib berkata, beliau menyambut baik pembebasan itu jika polis memikirkan ia sesuatu yang wajar dilakukan.

"Itu keputusan pihak polis, jadi kalau pihak polis memikir dia wajar dibebaskan, saya mengalu-alukan tindakan yang dibuat pihak polis, dan harap akan meredakan isu ISA, dan menunjukkan kerajaan amat mementingkan keselamatan negara kita dan keamanan negara kita," katanya di Pekan, Pahang.

Peguam Teresa, Sankara Nair berkata, beliau dibebaskan kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.

"Sebab-sebab beliau dibebaskan belum dimaklumkan kepada saya," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Sankara mengambil Teresa di Balai Polis Jalan Travers, Brickfileds.

Teresa ketika ditemui melahirkan rasa gembira kerana dibebaskan hari ini setelah ditahan lapan hari lepas.

"Saya gembira sebab telah dibebaskan dan saya okay. Saya tidak tahu kenapa saya dibebaskan hari ini seperti mana juga saya tidak tahu kenapa saya ditahan," katanya.

Hadir sama di balai ketika pembebasannya ialah ibunya Poh Seh Kwon dan bapanya Kok Kim Tong.

Teresa merupakan individu kedua, yang ditahan di bawah ISA pada Jumaat lalu selain pengendali laman Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng, dibebaskan.

Pada Sabtu lalu Tan dibebaskan selepas ditahan selama 18 jam.

Beliau ditahan mengikut Seksyen 73(1) ISA 1960 kerana didakwa mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama.

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh Teresa semasa siasatan dijalankan.

"Tiada lagi sebab untuk meneruskan penahanan lanjut dan (polis) memutuskan untuk membebaskan beliau hari ini," katanya.

Di Pulau Pinang, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan polis membebaskan Teresa.

"DAP menerima baik pembebasan Teresa dan sememangnya beliau tidak perlu ditahan," katanya.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, dalam sidang medianya pada Sabru lalu, Teresa ditahan di bawah ISA berhubung kenyataan beliau yang meminta laungan azan pada waktu pagi dihentikan.

Teresa sebelum ini dikatakan akan ditahan selama 28 hari untuk disoal siasat.

0 comments: