Featured

About this Blog

Harga minyak: Razaleigh mula ancam Abdullah

0 comments

Selepas pengakuan Ketua Umum KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau boleh menurunkan harga minyak sebanyak 50 sen kini calon Presiden Umno Tengku Razaliegh pula mendakwa dirinya juga mempunyai cara tersendiri menurunkan bahan api tersebut.

Tengku Razaliegh yakin boleh turunkan harga minyak selepas beberapa hari Menteri Penerangan Dato' Shabery Cheek mempertahankan Perdana Menteri Abdullah Badawi dalam keputusan menaikan harga minyak secara mendadak.

Menurut Dewan Pemuda PAS, kenyataan terbaru Razaleigh walaupun menafikan sebagai kempen politik tetapi mesej yang begitu jelas ditujukan kepada kegagalan Abdullah Badawi menjaga kepentingan rakyat.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berkata, idea yang tercetus oleh Razaliegh itu sama dengan pandangan Pakatan Rakyat sebagaimana yang dinyatakan oleh Anwar Ibrahim dalam debat baru-baru ini.

"Yang penting dua pencabar Abdullah Badawi telah bersepakat harga minyak boleh diturunkan jika kerajaan memikirkan beban yang ditanggung oleh rakyat," tegas Salahuddin.

Tambahnya, Razaliegh dan Anwar adalah bekas Menteri Kewangan yang kini disebut-sebut bakal menggantikan Abdullah sebagai Perdana Menteri ekoran terpalitnnya Dato' Seri Najib Razak dengan isu Altantuya serta kejayaan Abdullah Badawi menjerat timbalannya dalam pelan peralihan kuasa pada 2010.

Salahuddin berkata, Razaliegh menyedari ada usaha-usaha untuk menghalang mana-mana ahli Umno bertanding jawatan Presiden Umno sedang giat dijalankan.

"Di satu sudut, Pak Lah menggunakan MT Umno untuk membuat arahan supaya Presiden Umno tidak ditandingi kerana peralihan kuasa akan dibuat pada 2010; sedang di sudut yang lain, usaha melobi Perhubungan Umno negeri-negeri supaya menyokong Pak Lah secara terbuka juga dibuat," katanya.

Dalam masa sama, Salahuddin berkata, peraturan berkempen diwujudkan untuk menyekat tokoh Umno tertentu daripada berkempen terutama yang tidak berjawatan menteri.

"Semua pendekatan ini adalah untuk menyelamatkan Abdullah Badawi, di samping MT terus mengekalkan peraturan 30 peratus pencalonan untuk jawatan Presiden Umno," tambah beliau.

Sehubungan itu, Salahuddin berkata, Razaliegh adalah satu-satunya pemimpin Umno yang dilihat layak menentang Abdullah Badawi untuk jawatan tersebut, beliau bukan sahaja lebih berpengalaman bahkan telah terbukti kebolehannya mentadbir.

"Semenjak zaman Tun Hussein Onn nama Ku Li disebut sebagai bakal Perdana Menteri, tetapi Dr Mahathir yang dipilih oleh Tun Hussein. Pada zaman Mahathir, Ku Li telah memperlihatkan pengaruhnya sehingga Umno 'dibiarkan' haram untuk menyekat peluang Ku Li," katanya.

Kini, kata Salahuddin, Najib sudah terjerat dengan Altantuya dan hampir hilang kelayakan, dan Razaliegh mula menggunakan isu-isu yang tiada kaitan dengan Umno seperti isu harga minyak untuk memancing sokongan ahli Umno.

"Ku Li nampaknya lebih sependapat dengan pembangkang yang mewakili suara rakyat dalam hal ini, berbanding Pak Lah yang buntu dalam mengatasi kenaikan harga minyak global," katanya.

Azizah: 'Saya percaya Anwar, satu lagi konspirasi politik'

0 comments

DR. WAN Azizah Wan Ismail ketika ditemu bual di rumah beliau di Bukit Segambut, Kuala Lumpur pagi semalam.

Sambil menyifatkan nasib dialami Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai konspirasi politik, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak dapat menjangkakan momentum gerakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpinnya selepas ini.

"Saya kata ada dan tidak... memang pada satu sudut kita kena tumpukan perhatian kita kepada kes apabila dibawa ke mahkamah," katanya.

Bagaimanapun kata isteri bekas Timbalan Perdana Menteri itu, ramai orang melihat isu yang dihadapi Anwar sekarang bukan kes biasa sebaliknya sebagai "kes politik."

"Ini kes politik, tak akan bukan kerana politik, tindakan-tindakan ini dilakukan. Dan, ada yang mengatakan ini adalah zalim, zalim terhadap sesiapa, bukan kerana saudara Anwar, tetapi sesiapa saja," kata Ketua Pembangkang di Parlimen ini dalam temu bual dengan 
mStar Online di rumah mereka di Bukit Segambut hari ini.

Malah, Dr. Wan Azizah berkata, pihak pemerintah bertindak 'tegas' ke atas Anwar selepas forum debat yang disertai Anwar pada malam Selasa lalu.

Anwar ditahan hari keesokan ketika beliau dalam perjalanan ke rumahnya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah, sejam sebelum hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Kata Dr. Wan Azizah, tahap sokongan ke atas Anwar meningkat ekoran program itu yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen ke seluruh negara.

Ia merupakan kemunculan pertama Anwar selepas dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada September 1998.

Ketika ditanya lagi sejauh mana beliau melihat ia sebagai konspirasi politik, Dr. Wan Azizah menjelaskan: "Saya bermaksud begini... sebab, cara bagaimana Anwar diperlakukan, kenapa?"

Katanya, jika Anwar berhadapan dengan tuduhan yang dimaksudkan, beliau tidak harus dikepung oleh anggota pasukan khas sehingga 20 orang dengan sesetengah mereka bertopeng, di tengah-tengah jalan ketika pulang ke rumah.

"Serbu, ditahan di tengah jalan, macam drama, macam drama Tamil pula itu," katanya dengan diringi senyuman kecil beliau.

"Tahun 98 pun macam itu, mereka datang ke rumah ketika sedang diadakan sidang akhbar. Sungguh dramatik, tiada syak ini adalah motif politik," katanya.

Di peringkat awal temu bual Dr. Wan Azizah juga menyifatkan tangkapan Anwar sebagai "ulang tayang" dengan merujuk kepada suasana tahun 1998 di rumah mereka di Bukit Damansara.

"Dan kenapa pihak polis dan juga pihak kerajaan ingin sangat peroleh sampel untuk DNA kerana kita tahu bahawa sampel DNA sudah dipegang oleh polis sejak 1998, dan kita juga telah lihat bahawa banyak bukti telah direka cipta dalam kes-kes terdahulu apabila Anwar telah dibebas, dilepaskan daripada tuduhan-tuduhan terdahulu.

"Ini kita melihat ulang tayang yang saya rasa bahawa peristiwa kali ini macam ulang tayang," katanya lagi.

Apabila ditanya sejauh mana pihaknya boleh melihat ia sebagai konspirasi politik sedangkan beliau dan Naib Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali sendiri telah menemui dua kali sepanjang tiga minggu lalu, Dr. Wan Azizah memberitahu, kedua-dua mereka menemui Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meminta jaminan keselamatan Anwar.

"Saya apabila bertemu, bila dikatakan hendak ditangkap, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara didakwa terlibat dan sekurang-kurangnya kedua-dua mereka tidak boleh mencampuri kes Anwar kerana ada konlfik kepentingan.

"Perdana Menteri jamin Anwar tidak akan dipukul dan dikasari, jaminan itu saya peroleh sendiri, yang lain itu... saya mahu lebih lah tetapi...," kata beliau sambil menambah:

"Kini makin terserlah, ini adalah politik. Oleh kerana politik, mereka bertindak dan beginilah dilakukan apabila Anwar dilihat sebagai satu cabaran, cabaran yang kuat kepada pihak pemerintah. Lebih-lebih lagi apabila ada debat yang kuat, tidak pernah dalam sejarah Malaysia ada debat macam pemilihan presiden Amerika Syarikat.

"Kita melihat bahawa saudara Anwar memang meyakinkan bagaimana kalau dia, kita boleh memegang tampuk kerajaan. 

"Itu telah melonjakkan 
rating Anwar, Keadilan dan Pakatan... melihat ini saya kira pihak berkuasa mengambil tindakan (menahannya)," katanya.

DNA: Anwar bersedia jika 5 syarat dipenuhi, PM saran jalani ujian

0 comments

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sedang dalam siasatan polis kerana tuduhan meliwat bekas pembantunya, meminta polis membuktikan empat fakta yang kukuh sebelum membenarkan DNA beliau diambil.

"Bukti pertama, siapa rogol siapa, saya sakit pinggang, budak universiti (bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan) kuat.

"Bukti kedua, di mana (berlakunya kejadian), ketiga tempat mana dan keempat di mana saksi," katanya ketika menyampaikan ceramah politik yang dihadiri lebih 1,000 orang di Cheng, Melaka malam tadi.

Kata Anwar, jika empat bukti kukuh itu dikemukakan, beliau bersedia untuk diambil darah.

Bagaimanapun, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mempertahankan tindakannya untuk tidak menjalani ujian DNA dengan mendakwa DNA hanya
corrobotive evidence (bukti yang memberi pengesahan).

"Saya bukan tak boleh bagi darah, darah saya dulu telah diambil .. ingat," kata beliau bahawa sampel DNA beliau pernah dibawa ke mahkamah.

Beliau merujuk kepada kes tuduhan liwat pertama yang pernah dikemukakan ke atasnya 10 tahun lepas.

Anwar juga menuduh polis telah bertindak melampau ketika menahannya pada Rabu lepas seolah-olah beliau "Osama Laden" .

"Saya telah "diiringi" oleh berpuluh-puluh motosikal besar anggota polis ketika saya dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur, apa kesalahan saya," kata beliau yang dipetik 
Bernama.

Kata Anwar, semasa di lokap pula, beliau hanya beralaskan simen untuk beliau merehatkan diri.

Anwar enggan membenarkan sampel darahnya diambil ketika dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada malam Rabu lalu, dengan membantah bahawa beliau bimbang ia akan dimanipulasikan oleh pihak tertentu seperti dalam kes liwatnya 10 tahun lepas.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis menimbang mendapatkan perintah mahkamah bagi Anwar memberi sampel darahnya untuk ujian DNA.

Kira-kira enam jam sebelum itu, Anwar pada sidang media di rumahnya di sini juga telah meletakkan syarat bagi menjalani DNA iaitu pemeriksaan perubatan dan pengambilan sampel daripada pihak pengadu, Mohd. Saiful dijalankan secara profesional.

Beliau semua pemeriksaan perubatan dan sampel yang diambil dari Mohd Saiful, disahkan secara bebas sebelum beliau mempertimbangkan untuk menjalani sebarang analisis DNA, kata beliau menerusi peguamnya R. Sivarasa.

"Terlebih dahulu semua pemeriksaan perubatan dan pengambilan sampel berkaitan pengadu (Mohd Saiful) perlu ditentusahkan secara bebas dan dilakukan secara profesional tanpa sebarang campur tangan polis.

"Hanya selepas itu sahaja, Datuk Seri (Anwar Ibrahim) akan mempertimbangkan untuk menyertai sebarang analisis DNA," katanya.

Di Putrajaya, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Anwar perlu memberikan sampel DNA yang boleh dibuat secara telus bagi membantu siasatan dakwaan kes liwat yang didakwa melibatkannya.

 Perdana Menteri berkata, Anwar sendiri boleh melihat proses ujian DNA itu bagi mengetahui keputusannya.

"Kalau dia betul-betul kata tak terlibat ke apa. Bagi sampel," kata Abdullah, sambil menambah kata seolah-olah dirinya berada di tempat Anwar sekarang dengan berkata: "Buat sekarang. Saya nak tengok."

Abdullah berkata: "Dia (Anwar) kata dia tak buat apa-apa. Tengoklah. Tentu hasilnya tidak membuktikan sesuatu yang dia tidak lakukan. Itu caranya... apa susah sangat?"

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai keperluan pihak berkuasa mengambil sampel itu sekali lagi setelah sampel berkenaan diambil 10 tahun lalu semasa kes liwat melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu.

Mengenai perhatian kerajaan Amerika Syarikat dan Jepun kononnya kes itu bermotifkan politik, Abdullah berkata ia tidak betul.

"Tak ada. Tidak ada sebarang konspirasi atau pun apa-apa tindakan yang nak menganiaya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tak ada. Toksah dok percayalah," katanya.

Abdullah berkata kerajaan sememangnya mahu kes itu diselesaikan dengan segera.

Mengenai permintaan Anwar supaya Perdana Menteri memberi jaminan siasatan polis akan dijalankan secara profesional, Abdullah memberikan jaminan itu.

"Dia (Anwar) akan dilindungi oleh undang-undang yang ada. Kita mesti patuh dengan undang-undang. Pihak berkuasa juga patuh dengan undang-undang.

"Kita ada undang-undang. Undang-undanglah yang akan menjadi pedoman untuk kita nak bertindak atau ambil apa-apa langkah dan tindakan," kata Abdullah.


Kenyataan media Anwar Ibrahim 17 Julai

0 comments

Hari Sabtu yang lalu, 12-07-2008, polis datang ke rumah saya untuk menyerahkan notis di bawah peruntukan Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah, mereka juga mengganggu keluarga saya dan meminta saya hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur (IPK KL) pada jam 2 petang, 14-07-2008, hari Isnin. Walaupun peguam saya sudah memberi jaminan bahawa saya akan hadir ke IPK KL pada hari Isnin 14-07-2008. Hari berikutnya, Ahad, polis telah menyerahkan satu perintah mahkamah ex-parte, menghalang saya dari berada di kawasan sekitar 5 kilometer dari Parlimen pada hari Isnin 14-07-2008. Akan tetapi kita semua sedar bahawa rumah saya sebenarnya berada dalam radius 5 KM dari Parlimen. Berdasarkan perintah mahkamah itu mereka sebenarnya meletakkan saya dalam tahanan rumah pada hari Isnin tersebut sekaligus menghalang saya dari hadir ke IPK KL.

Hari Isnin, 14-07-2008, kehadiran anggota polis di luar kediaman saya menguatkan jangkaan kami bahawa mereka bersedia untuk
menahan saya sekiranya saya keluar dari kediaman saya dengan alasan saya sudah melanggar perintah mahkamah tersebut. Maka timbul persoalan perintah mahkamah mana yang saya harus patuhi, perintah ex-parte ataupun notis di bawah Seksyen 111 dari polis?

Hari yang sama, polis melalui seorang pegawai penyiasat, DSP Jude Pereira telah menulis dan telah fakskan kepada peguam saya pada jam 1.06pm, memberitahu saya harus hadir ke IPK KL pada hari Rabu, 16-07-2008 jam 2.00pm untuk membantu siasatan. Saya menyampaikan persetujuan saya untuk hadir dan ia dikomunikasikan melalui peguam saya, Tetuan S.N Nair dan Rakan-Rakan. Peguam saya menghubungi pihak polis melalui telefon dan juga surat pada hari yang sama.

Hari Rabu, 16-07-2008, saya berada di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah, untuk memberi keterengan berhubung laporan polis yang dikemukakan di IPK Shah Alam pada 01-07-2008. Laporan tersebut berkaitan pembabitan Peguam Negara Gani Patail dan Ketua Polis Negara Musa Hasan dalam memalsukan bukti-bukti kes tahun 1998. Bagi memastikan kami hadir di IPK KL tepat pada jam 2.00 petang, kami terpaksa memendekkan sesi memberi keterangan di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR), fakta ini jelas kerana kami sememangnya menyampaikan perkara tersebut kepada pegawai BPR yang ada hadir.

Jam 12.45 pm, pegawai penyiasat, DSP Jude Pereira menghubungi Encik Nair bagi memastikan kehadiran kami dan Encik Nair mengesahkan kehadiran kami serta kami akan sampai di IPK KL tepat jam 2.00 pm. Kami bercadang untuk makan tengahari dengan masa yang sesingkat mungkin di rumah saya sebelum bertolak ke IPK KL. 5 minit kemudian kami ditahan oleh satu pasukan polis yang bertopeng dan dilengkapi senjata dekat rumah saya.

Saya ditahan dan dibawa ke IPK KL. Saya bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis dengan memberi pernyataan beramaran dari jam 2.20pm hingga sekitar jam 7.30pm. Sehingga ke saat ini, pegawai penyiasat dan para pegawai lainnya menjalankan tugas mereka dengan profesional. Saya diberi jaminan oleh Penolong Pesuruhjaya Polis Razali dan kemudiannya oleh Penolong Pesuruhjaya Kanan II Khor melalui peguam saya bahawa saya akan dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama.

Namun demikian, ketika saya dalam perjalanan pulang dari Hospital Besar Kuala Lumpur, pegawai penyiasat DSP Jude Pereira memberitahu saya dan para peguam bahawa saya akan terus ditahan di lokap semalaman di atas tujuan untuk merekodkan keterangan saya pada keesokan paginya

Saya bersama para peguam membantah penahanan saya dengan alasan, kami bersedia untuk kembali serta membantu pihak polis dalam merekodkan keterangan saya pada bila-bila masa sahaja. Kami berpendapat tidak perlu bagi saya ditahan semalaman dan saya wajar dibebaskan dengan jaminan polis. Pihak polis, melalui pegawai penyiasat tetap berkeras agar saya terus ditahan dalam lokap untuk semalaman walau menyedari keadaan fizikal saya. Saya terpaksa bermalam dalam lokap dan tidur berlantaikan simen dingin yang ternyata menjejaskan sakit belakang yang saya alami akibat dipukul keras oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Nor pada 20hb September 1998.

Pagi ini sejurus selepas keterangan saya diambil sekitar 30 minit, saya dibebaskan dengan jaminan polis. Saya berada dalam keadaan kesakitan dan segera mendapatkan rawatan apabila sampai di kediaman saya.

Saya sekarang berhasrat untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Dato Mohd Bakri Mohd Zinin berhubung kenyataannya yang tertera di akhbar Utusan Malaysia hari ini, di antara lain menyebut:

Pasukan khas bertopeng polis terpaksa memintas kenderaan DSAI di Bukit Segambut di sini dan menahan Anwar ekoran tindakan Penasihat PKR itu mengubah haluan kenderaannya pada saat-saat tempoh yang diberi kepadanya untuk menyerah diri kepada polis pada pukul 2 petang ini hampir berakhir.

Ini adalah pembohongan nyata dari Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah yang sebenarnya ingin menutupi tindakan memalukan mereka yang ternyata menyalahgunakan kuasa. Saya memberi jaminan dan sebenarnya telah pun memberitahu pegawai penyiasat tersebut akan kesediaan saya untuk hadir melalui peguam saya yang turut berada bersama, 5 minit sebelum diserang hendap oleh pihak polis.

Selain kenyataan di atas, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Wan Farid juga membuat kenyataan, sebagaimana yang dilaporkan oleh Star Online,

Saya dengan sukarelanya menaiki kenderaan polis tanpa sebarang insiden.

Ini sememangnya satu pembohongan dari kerajaan.

Saya mengecam Ketua Polis Negara kerana penyalahgunaan kuasa yang dikenakan ke atas diri saya berasaskan peristiwa yang saya nyatakan di atas. Kelihatan insiden-insiden yang berlaku beberapa hari lepas, seperti, cara saya ditahan, terpaksa bermalam dilokap walaupun tidak perlu, merupakan satu tindakan terhadap saya yang bersifat dendam peribadi , terutamanya berhubung laporan polis ke atas beliau yang sekarang disiasat Badan Pencegah Rasuah.

DNA

Saya mempunyai alasan munasabah untuk tidak lagi mempercayai sistem.

Alasan saya ialah sepanjang perbicaraan kes liwat tahun 1998 yang merupakan satu pertuduhan palsu, bukti DNA yang dipalsukan digunakan ke atas saya. Individu-individu yang terlibat dalam pemalsuan bukti-bukti pada ketika itu, yang sekarang ini ialah Ketua Polis Negara, Penolong Pesuruhjaya Kanan Rodwan dan Peguam Negara, aktor-aktor penting penyiasatan sekarang.

Sehingga sekarang saya dihalang dari mendapatkan laporan polis yang dibuat oleh petuduh terhadap saya.

Petuduh masih dibawah jagaan polis, oleh kerana itu ada kemungkinan besar pemalsuan akan belaku jika mereka mengambil DNA saya.

Keputusan untuk tidak membenarkan ujian DNA ke atas diri saya adalah di atas nasihat peguam dan juga pakar DNA tempatan dan juga antarabangsa.

ANWAR IBRAHIM

(Dimuat turun dari blog www.anwaribrahim.com)

Peguam Anwar minta Syed Hamid henti beri komen 'mencampuri' siasatan polis

0 comments

Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, R. Sivarasa meminta pegawai-pegawai tinggi kerajaan terutama menteri menghentikan komen-komen yang disifatkan mencampuri siasatan polis dan menimbulkan salah faham berhubung kes liwat Anwar.

Beliau berkata demikian berikutan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang dilaporkan media tempatan hari ini terutama muka hadapan akhbar the New Straits Times (NST) yang tertulis "What is he afraid of? He can have his own doctor present when giving sample." (Apa yang ditakutkannya? Beliau (Anwar) boleh memberi sampel (DNA) dengan kehadiran doktornya".

Sivarasa berkata, kenyataan Syed Hamid itu seperti mencampuri siasatan yang sedang dijalankan selain menimbulkan salah faham yang seolah-olah menggambarkan Anwar enggan memberi kerjasama kepada polis.

"Datuk Seri Anwar mempunyai sebab untuk percaya kemungkinan bukti DNA itu akan dipalsukan sekali lagi oleh pihak polis seperti yang berlaku dalam kes 1998. Ini kerana pengadu (Mohd Saiful Bukhari Azlan) berada dalam penjagaan polis sejak 28 Jun lalu dan polis juga mempunyai DNA Datuk Seri Anwar bagi kes terdahulu.

"Justeru, kenyataan Datuk Seri Syed Hamid yang percaya ia boleh diselesaikan dengan memberi sampel DNA kepada doktor peribadi dan pakar forensik antarabangsa tetap tidak menyelesaikan kebimbangan anak guam kami kerana sampel itu tetap akan diberikan kepada polis," katanya ketika sidang media di rumah Anwar di Segambut, hari ini.

Beliau berkata, dalam perbicaraan kes liwat membabitkan mantan Timbalan Perdana Meneteri itu pada tahun 1998 dan 1999, bukti DNA Anwar telah dipalsukan apabila seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan telah membuang sampel DNA daripada penjagaan forensik secara tidak sah.

"Ketika sesi soal balas terhadap saksi-saksi pendakwaan, maka terdedahlah yang  DNA yang diambil dari sampel darah sengaja diletakkan di atas tilam yang dikenali umum itu," kata Sivarasa.

"Apabila fakta ini dihadapkan, pihak pendakwaan meminda pertuduhan (terhadap Anwar) dan memujuk Hakim Augustine Paul, agar menghapuskan semua bukti DNA daripada rekod (keterangan mahkamah), menghalang peguam-peguam Anwar mencabarnya," katanya.

Sivarasa berkata, Anwar hanya akan mempertimbangkan untuk menjalani ujian DNA jika beliau benar-benar yakin semua pemeriksaan kesihatan dan sampel yang diambil dilakukan secara bebas dan profesional tanpa campur tangan polis.

Katanya, kebimbangan Anwar itu disebabkan pemalsuan bukti yang berlaku dalam kes terdahulu membabitkan 'pemain yang sama' pada masa ini iaitu Tan Sri Abdul Gani Patail dan Tan Sri Musa Hassan (yang pada ketika itu ketua pendakwaraya dan ketua siasatan) kini memegang jawatan yang lebih berkuasa dalam penguatkuasaan undang-undang.

"Selain itu, siasatan yang dijalankan pada tahap ini tidak memerlukan bukti DNA kerana satu kes masih belum wujud," katanya.

Beliau berkata, Anwar telah memberikan keterangan selama lima setengah jam polis Rabu lalu walaupun beliau ada hak untuk tidak berbuat demikian atas nasihat semua peguamnya.

"Beliau tetap memberi keterangan untuk membuktikan beliau mahu bekerjasama walaupun peguam-peguamnya menasihatkan beliau tidak berbuat demikian kerana kami masih belum mendapat salinan laporan polis," katanya.

Ketika ditanya sama ada Anwar akan memberi sampel DNAnya jika mendapat perintah mahkamah, Sivarasa berkata, hal itu (perintah mahkamah) tiada dalam peruntukan undang-undang.

Beliau seterusnya menyelar satu laporan akhbar NST hari ini yang menyatakan memetik satu sumber yang tidak bernama dari Hospital Kuala Lumpur yang mengatakan Anwar tidak dibogelkan ketika pemeriksaan kesihatan dilakukan terhadapnya padanya Rabu lalu di hospital tersebut.

"Laporan (beliau tidak dibogelkan) itu salah sama sekali," katanya.

Anwar semalam mendakwa, beliau telah dibogelkan semasa pemeriksaan ke atasnya dibuat oleh kakitangan HKL.

Katanya, seluruh badan termasuk alat sulitnya diperiksa bagi mendapatkan bukti untuk siasatan kes liwat yang dikaitkan dengan dirinya.