Featured

About this Blog

Ahli MT desak PM jangan bertanding...

0 comments

Beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno telah mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya jangan bertanding jawatan presiden Disember ini.

Mereka membuat desakan tersebut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) semalam, kerana bimbangkan Abdullah tidak akan mendapatkan pencalonan yang mencukupi untuk mempertahankan jawatan presiden.

umno 2007 pak lah abdullah ahmad badawi 061107Ini bermakna, Abdullah perlu meletakkan jawatan perdana menteri lebih awal daripada 2010.

Difahamkan, mereka mahu Abdullah meletak jawatan sebelum 9 Oktober ini - tarikh bermulanya mesyuarat bahagian yang akan berlangsung selama sebulan sehingga 9 November.

Seramai 193 bahagian Umno akan membuat pencalonan bagi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden serta kerusi MT untuk bertanding dalam pemilihan parti Disember depan.

Abdullah memerlukan 30 peratus atau 58 pencalonan dari bahagian untuk layak bertanding jawatan presiden. Sebelum ini beliau memegang jawatan presiden tanpa bertanding.

Menurut sumber-sumber yang layak dipercayai, desakan tersebut dibuat oleh sekurang-kurang tiga ahli MT ketika bercakap mengenai pergolakan dalam Umno sekarang.

Teresa dibebas, Najib harap reda isu tahanan ISA

0 comments
BEBAS... Teresa Kok keluar dari Balai Polis Jalan Travers, Brickfileds selepas dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) tengah hari tadi.

Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Parlimen DAP kerusi Seputeh, Teresa Kok dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) hari ini selepas ditahan selama lapan hari.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berharap pembebasan Teresa akan dapat meredakan isu penahanan di bawah akta itu.

Najib berkata, beliau menyambut baik pembebasan itu jika polis memikirkan ia sesuatu yang wajar dilakukan.

"Itu keputusan pihak polis, jadi kalau pihak polis memikir dia wajar dibebaskan, saya mengalu-alukan tindakan yang dibuat pihak polis, dan harap akan meredakan isu ISA, dan menunjukkan kerajaan amat mementingkan keselamatan negara kita dan keamanan negara kita," katanya di Pekan, Pahang.

Peguam Teresa, Sankara Nair berkata, beliau dibebaskan kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.

"Sebab-sebab beliau dibebaskan belum dimaklumkan kepada saya," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Sankara mengambil Teresa di Balai Polis Jalan Travers, Brickfileds.

Teresa ketika ditemui melahirkan rasa gembira kerana dibebaskan hari ini setelah ditahan lapan hari lepas.

"Saya gembira sebab telah dibebaskan dan saya okay. Saya tidak tahu kenapa saya dibebaskan hari ini seperti mana juga saya tidak tahu kenapa saya ditahan," katanya.

Hadir sama di balai ketika pembebasannya ialah ibunya Poh Seh Kwon dan bapanya Kok Kim Tong.

Teresa merupakan individu kedua, yang ditahan di bawah ISA pada Jumaat lalu selain pengendali laman Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng, dibebaskan.

Pada Sabtu lalu Tan dibebaskan selepas ditahan selama 18 jam.

Beliau ditahan mengikut Seksyen 73(1) ISA 1960 kerana didakwa mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama.

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh Teresa semasa siasatan dijalankan.

"Tiada lagi sebab untuk meneruskan penahanan lanjut dan (polis) memutuskan untuk membebaskan beliau hari ini," katanya.

Di Pulau Pinang, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan polis membebaskan Teresa.

"DAP menerima baik pembebasan Teresa dan sememangnya beliau tidak perlu ditahan," katanya.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, dalam sidang medianya pada Sabru lalu, Teresa ditahan di bawah ISA berhubung kenyataan beliau yang meminta laungan azan pada waktu pagi dihentikan.

Teresa sebelum ini dikatakan akan ditahan selama 28 hari untuk disoal siasat.

Syed Hamid: Pembebasan Teresa urusan polis

0 comments

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata pembebasan ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari ini adalah urusan pihak polis.

Menurut Syed Hamid, beliau tidak mempunyai hak untuk campur tangan mengenai urusan pembebasan ahli Parlimen berkenaan.

Jelasnya, sesiapa yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah tertakluk di bawah bidang kuasa polis.

“Saya pun dimaklumkan oleh polis setelah mereka membebaskannya tengah hari tadi,” katanya selepas menyampaikan sumbangan hari raya kepada kakitangan Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Tambahnya, secara umumnya selepas pihak polis melihat tidak ada keperluan untuk melanjutkan tempoh penahanan mereka yang ditahan di bawah ISA, mereka akan dibebaskan dengan segera.

“Bila polis sudah berpuashati dengan siasatan yang dijalankan mereka akan membebaskannya, Kementerian Dalam Negeri tidak akan campurtangan,” katanya.

Jelasnya ia merupakan kaedah terbaik supaya tidak timbul salah faham dalam isu tersebut.

Syed Hamid berkata dalam isu ISA, pihak polis hanya akan merujuk kepadanya apabila mereka ingin memanjangkan tempoh penahanan seseorang yang ditahan di bawah ISA.

“Seperti kita maklum seseorang yang ditahan di bawah ISA boleh ditahan maksimum 60 hari. Selepas tempoh itu, jika polis melihat mereka perlu terus menahannya lagi, barulah ia dirujuk kepada saya untuk mendapatkan kebenaran untuk berbuat demikian,” katanmya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai campurtangan pihak Amerika Syarikat melabelkan Malaysia menggunakan ISA ke atas Teresa disifatkan sebagai dikatakan melanggar hak asasi dan kemanusiaan Syed Hamid berkata:

“Kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap rakyat Malaysia. Pihak luar tidak penting dalam hal ini,” katanya.

Tegasnya, polis tidak menggunakan ISA kerana ingin melindungi kepentingan masyarakat awam.

“Setiap negara punya undang-undang tersendiri, jadi pihak luar perlu menghormatinya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh kementeriannya kepada tiga akhbar minggu lalu, Syed Hamid berkata beliau belum berpeluang melihat maklum balas daripada mereka yang terbabit.

“Saya belum lihat lagi maklum balas mereka, jadi kita kena tunggu la, katanya.

Minggu lalu, Tiga akhbar tempatan "The Sun", "Sin Chew Daily" dan "Suara Keadilan" -- telah diberikan surat tunjuk sebab berhubung artikel mereka yang menyentuh perkembangan politik semasa.

Setiausaha Unit Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN), Che Din Yusof berkata surat tunjuk sebab itu dikeluarkan kepada akhbar The Sun kerana didakwa memanipulasi dan memainkan banyak isu sensitif.

Sin Chew Daily pula diberi surat tunjuk sebab kerana melaporkan kontroversi kenyataan berbaur perkauman membabitkan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Pulau Pinang, Datuk Ahmad Ismail.

Suara Keadilan menerima surat tunjuk sebab berhubung laporannya yang memetik sumber-sumber yang mendakwa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan lumpuh selepas menjalani pembedahan pintasan jantung.

Syed Hamid turut menasihatkan agar media di negara ini mengamalkan sikap lebih bertanggungjawab dalam setiap perkara yang dilaporkan.

Tambahnya, semua pihak peranan penting untuk menyumbang kepada kebebasan media yang diamalkan selama ini.


Dr. M akan sertai Umno pada masa yang tepat

0 comments

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau hanya akan kembali menyertai Umno pada suatu masa yang tepat.

Bercakap kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini malam ini, Mahathir yang juga bekas presiden parti itu berkata pelbagai pihak telah berusaha meyakinkan dan memujuknya agar kembali kepada Umno.

"Saya sedang memikirkan untuk menyertai semula Umno, tetapi saya akan menentukan sendiri masa yang sesuai.

"Permohonan (untuk menyertai semula Umno) adalah satu perkara, penerimaan mereka juga harus difikirkan. Jadi saya mahu waktu yang tepat (untuk menyertai semula)," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau didatangi oleh banyak pihak yang meyakinkan beliau bahawa beliau boleh membawa kebaikan kepada Umno, parti yang menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional, jika menyertainya semula.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berpendapat penulis blog Raja Petra Kamarudin dan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok tidak harus ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mereka tidak melakukan ketegangan.

Beliau berkata adalah tidak benar sekiranya kedua-dua individu terbabit didakwa menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara hanya kerana meluahkan pandangan masing-masing.

Beliau mendakwa keadaan sekarang tidak begitu tegang jika dibandingkan pada 1987 yang menyaksikan 106 ahli politik ditahan dalam Operasi Lalang.

PM tolak gesaan Anwar sidang khas Parlimen bincang undi tidak percaya

0 comments

Kira-kira empat jam selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa diadakan sidang khas Parlimen sebelum 23 September ini bagi membincangkan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata: "Tidak perlu."

Abdullah ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno berkata, sidang tergempar Parlimen tidak perlu diadakan memandangkan Dewan Rakyat akan bersidang tidak lama lagi.

Dewan Rakyat dijadual bersidang 13 Oktober ini.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak nampak sebab perlunya diadakan sidang khas Parlimen kerana Dewan Rakyat akan mula bersidang selepas Aidilfitri.

Kata Abdullah, Anwar boleh membangkitkan apa jua perkara sebaik sahaja Parlimen bersidang kelak.

Pada sidang media pukul 2 petang di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, pihaknya mahu Perdana Menteri memanggil sidang tergempar Parlimen bagi membincangkan susana politik termasuk dakwaan kepercayaan ke atas Abdullah sudah terhakis.

Kelmarin, Abdullah telah menolak permintaan pertama Ketua Umum Pakatan Rakyat itu untuk membincangkan soal peralihan kuasa dan pembentukan kerajaan baru secara aman.

Anwar menjelaskan beliau tidak memaklumkan perkara itu kepada Speaker Dewan Rakyat kerana berdasarkan peraturan mesyuarat tersebut, ia hanya perlu dimaklum kepada Perdana Menteri yang akan memanjangkan kepada Speaker.

Kata Anwar, seandainya Perdana Menteri menolak permintaan tersebut beliau akan berbincang semula dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat untuk tindakan lanjut.

Pihak pembangkang akan membawa usul yang berbunyi "bahawa Dewan yang mulia ini telah hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya."

Ini kerana, menurut beliau, Peraturan Mesyuarat 11(3) yang memerlukan Parlimen untuk bersidang dengan segera kerana keadaan politik yang kritikal dan berlanjutan.

Ditanya mengapa tidak tunggu 13 Oktober ini iaitu tarikh Dewan Rakyat bersidang semula, beliau berkata, ia tidak boleh ditangguhkan kerajaan sebab majoriti di Dewan Rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri.

"Saya ada cukup jumlah Ahli Parlimen. Ini bermakna kami ada suara majoriti untuk mengadakan undi tidak percaya kepada beliau dan kerajaannya," kata beliau.


"Mereka kata Anwar pembohong, tapi saya tak gila"

0 comments

"Mereka kata Anwar pembohong, tapi saya tak gila."

Demikian reaksi Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini apabila ditanya lagi butiran mengenai senarai ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang dikatakan telah bersetuju untuk beralih ke Pakatan Rakyat bagi membolehkan kerajaan baru persekutuan dibentuk.

Hari ini beliau berkata, seramai 35 Ahli Parlimen BN telah menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Kelmarin - pada 16 September - Anwar yang dikatakan bakal mengumumkan senarai Ahli Parlimen BN yang sedia melompat parti berkata, beliau sudah ada bilangan wakil rakyat yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Anwar yang turut diminta memperkenalkan semua Ahli Parlimen seperti yang didakwanya mencukupi untuk membentuk kerajaan, terus merahsiakan maklumat tersebut atas alasan keselamatan.

"Kami ada senarainya, saya dah kata nak tunjukkan kepada Perdana Menteri nanti.

"Lagi pun ahli-ahli Parlimen berkenaan yang meminta saya agar tidak umumkan dulu sehingga masanya sesuai kerana bimbang akan keselamatan (mereka)," katanya.

Pada sidang media kelmarin, Anwar tidak mengumumkan senarai nama Ahli Parlimen yang bakal melompat parti itu.

Sebaliknya kata Anwar, beliau bersedia dan hanya akan mengumumkan nama-nama Ahli Parlimen BN kepada Abdullah terlebih dahulu.

"Sebaik sahaja jumpa Perdana Menteri, kita akan patuh mengikut Perlembagaan termasuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong," kata beliau.

Bagaimanapun pada hari yang sama Abdullah menolak permintaan Anwar itu.

Anwar juga menyelar tuduhan kasar Perdana Menteri semalam yang mendakwa beliau merupakan ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara.

"Nampaknya Perdana Menteri tidak faham kandungan surat itu.

"Saya tulis untuk berbincang mengenai masalah kestabilan negara dan arah tuju politik," katanya.

"Saya guna bahasa yang sopan, tidak pula saya nak kata untuk adakan perbincangan bagi gulingkan beliau dan kerajaannya," katanya dengan sinis apabila ditanya mengenai pandangan Abdullah bahawa Anwar merupakan ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara.

Sama ada tanding atau tidak biar saya buat keputusan - Abdullah

0 comments

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata, sebarang keputusan berkaitan kedudukannya sebagai Presiden Umno dan juga peralihan kuasa akan dibuat oleh beliau sendiri.

Perdana Menteri berkata, sebarang perubahan kepada pelan peralihan kuasa itu akan beliau bincangkan dengan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sebab mesyuarat (bahagian) belum bermula lagi dan apa-apa yang perlu saya laksanakan, dan apa-apa tindakan yang akan saya buat sekali lagi ke, apa ke, itu terserah kepada sayalah.

"Saya akan cakap dengan (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Najib, tak payah ulang-ulanglah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini.

Abdullah ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti kali ini yang dijadualkan pada Disember memandangkan persidangan Umno bahagian akan bermula 9 Oktober ini.

Perdana Menteri turut mengulangi kenyataannya bahawa sebarang perubahan yang mungkin berlaku dalam proses peralihan kuasa akan dibincangkan dengan Najib dan keputusan yang dibuat akan dibawa ke Majlis Tertinggi.

Abdullah juga berkata, isu pelan peralihan kuasa itu tidak dijelaskan semula dalam mesyuarat MT hari ini.

"Saya tidak beri penjelasan semula. Saya hanya kata yang saya sedar, saya sentiasa mendengar, saya sedang memberi perhatian kepada apa yang berlaku mengenai situasi sekarang ini dalam parti.

"Apa-apa juga keputusan yang akan saya buat mengenai perkara ini akan saya bincang dulu dengan Datuk Seri Najib, kemudian keputusan itu akan dibawa untuk makluman Majlis Tertinggi," katanya.

Semalam Abdullah dilapor berkata, walaupun beliau dan Najib komited dengan pelan peralihan kuasa yang dirancang pada tahun 2010, pengunduran beliau mungkin berlaku lebih awal