Featured

About this Blog

Ahli MT desak PM jangan bertanding...

0 comments

Beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno telah mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya jangan bertanding jawatan presiden Disember ini.

Mereka membuat desakan tersebut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) semalam, kerana bimbangkan Abdullah tidak akan mendapatkan pencalonan yang mencukupi untuk mempertahankan jawatan presiden.

umno 2007 pak lah abdullah ahmad badawi 061107Ini bermakna, Abdullah perlu meletakkan jawatan perdana menteri lebih awal daripada 2010.

Difahamkan, mereka mahu Abdullah meletak jawatan sebelum 9 Oktober ini - tarikh bermulanya mesyuarat bahagian yang akan berlangsung selama sebulan sehingga 9 November.

Seramai 193 bahagian Umno akan membuat pencalonan bagi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden serta kerusi MT untuk bertanding dalam pemilihan parti Disember depan.

Abdullah memerlukan 30 peratus atau 58 pencalonan dari bahagian untuk layak bertanding jawatan presiden. Sebelum ini beliau memegang jawatan presiden tanpa bertanding.

Menurut sumber-sumber yang layak dipercayai, desakan tersebut dibuat oleh sekurang-kurang tiga ahli MT ketika bercakap mengenai pergolakan dalam Umno sekarang.

Teresa dibebas, Najib harap reda isu tahanan ISA

0 comments
BEBAS... Teresa Kok keluar dari Balai Polis Jalan Travers, Brickfileds selepas dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) tengah hari tadi.

Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Parlimen DAP kerusi Seputeh, Teresa Kok dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) hari ini selepas ditahan selama lapan hari.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berharap pembebasan Teresa akan dapat meredakan isu penahanan di bawah akta itu.

Najib berkata, beliau menyambut baik pembebasan itu jika polis memikirkan ia sesuatu yang wajar dilakukan.

"Itu keputusan pihak polis, jadi kalau pihak polis memikir dia wajar dibebaskan, saya mengalu-alukan tindakan yang dibuat pihak polis, dan harap akan meredakan isu ISA, dan menunjukkan kerajaan amat mementingkan keselamatan negara kita dan keamanan negara kita," katanya di Pekan, Pahang.

Peguam Teresa, Sankara Nair berkata, beliau dibebaskan kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.

"Sebab-sebab beliau dibebaskan belum dimaklumkan kepada saya," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Sankara mengambil Teresa di Balai Polis Jalan Travers, Brickfileds.

Teresa ketika ditemui melahirkan rasa gembira kerana dibebaskan hari ini setelah ditahan lapan hari lepas.

"Saya gembira sebab telah dibebaskan dan saya okay. Saya tidak tahu kenapa saya dibebaskan hari ini seperti mana juga saya tidak tahu kenapa saya ditahan," katanya.

Hadir sama di balai ketika pembebasannya ialah ibunya Poh Seh Kwon dan bapanya Kok Kim Tong.

Teresa merupakan individu kedua, yang ditahan di bawah ISA pada Jumaat lalu selain pengendali laman Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng, dibebaskan.

Pada Sabtu lalu Tan dibebaskan selepas ditahan selama 18 jam.

Beliau ditahan mengikut Seksyen 73(1) ISA 1960 kerana didakwa mencetuskan isu perkauman dan persengketaan agama.

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan oleh Teresa semasa siasatan dijalankan.

"Tiada lagi sebab untuk meneruskan penahanan lanjut dan (polis) memutuskan untuk membebaskan beliau hari ini," katanya.

Di Pulau Pinang, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan polis membebaskan Teresa.

"DAP menerima baik pembebasan Teresa dan sememangnya beliau tidak perlu ditahan," katanya.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, dalam sidang medianya pada Sabru lalu, Teresa ditahan di bawah ISA berhubung kenyataan beliau yang meminta laungan azan pada waktu pagi dihentikan.

Teresa sebelum ini dikatakan akan ditahan selama 28 hari untuk disoal siasat.

Syed Hamid: Pembebasan Teresa urusan polis

0 comments

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata pembebasan ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari ini adalah urusan pihak polis.

Menurut Syed Hamid, beliau tidak mempunyai hak untuk campur tangan mengenai urusan pembebasan ahli Parlimen berkenaan.

Jelasnya, sesiapa yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah tertakluk di bawah bidang kuasa polis.

“Saya pun dimaklumkan oleh polis setelah mereka membebaskannya tengah hari tadi,” katanya selepas menyampaikan sumbangan hari raya kepada kakitangan Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Tambahnya, secara umumnya selepas pihak polis melihat tidak ada keperluan untuk melanjutkan tempoh penahanan mereka yang ditahan di bawah ISA, mereka akan dibebaskan dengan segera.

“Bila polis sudah berpuashati dengan siasatan yang dijalankan mereka akan membebaskannya, Kementerian Dalam Negeri tidak akan campurtangan,” katanya.

Jelasnya ia merupakan kaedah terbaik supaya tidak timbul salah faham dalam isu tersebut.

Syed Hamid berkata dalam isu ISA, pihak polis hanya akan merujuk kepadanya apabila mereka ingin memanjangkan tempoh penahanan seseorang yang ditahan di bawah ISA.

“Seperti kita maklum seseorang yang ditahan di bawah ISA boleh ditahan maksimum 60 hari. Selepas tempoh itu, jika polis melihat mereka perlu terus menahannya lagi, barulah ia dirujuk kepada saya untuk mendapatkan kebenaran untuk berbuat demikian,” katanmya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai campurtangan pihak Amerika Syarikat melabelkan Malaysia menggunakan ISA ke atas Teresa disifatkan sebagai dikatakan melanggar hak asasi dan kemanusiaan Syed Hamid berkata:

“Kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap rakyat Malaysia. Pihak luar tidak penting dalam hal ini,” katanya.

Tegasnya, polis tidak menggunakan ISA kerana ingin melindungi kepentingan masyarakat awam.

“Setiap negara punya undang-undang tersendiri, jadi pihak luar perlu menghormatinya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh kementeriannya kepada tiga akhbar minggu lalu, Syed Hamid berkata beliau belum berpeluang melihat maklum balas daripada mereka yang terbabit.

“Saya belum lihat lagi maklum balas mereka, jadi kita kena tunggu la, katanya.

Minggu lalu, Tiga akhbar tempatan "The Sun", "Sin Chew Daily" dan "Suara Keadilan" -- telah diberikan surat tunjuk sebab berhubung artikel mereka yang menyentuh perkembangan politik semasa.

Setiausaha Unit Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN), Che Din Yusof berkata surat tunjuk sebab itu dikeluarkan kepada akhbar The Sun kerana didakwa memanipulasi dan memainkan banyak isu sensitif.

Sin Chew Daily pula diberi surat tunjuk sebab kerana melaporkan kontroversi kenyataan berbaur perkauman membabitkan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Pulau Pinang, Datuk Ahmad Ismail.

Suara Keadilan menerima surat tunjuk sebab berhubung laporannya yang memetik sumber-sumber yang mendakwa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan lumpuh selepas menjalani pembedahan pintasan jantung.

Syed Hamid turut menasihatkan agar media di negara ini mengamalkan sikap lebih bertanggungjawab dalam setiap perkara yang dilaporkan.

Tambahnya, semua pihak peranan penting untuk menyumbang kepada kebebasan media yang diamalkan selama ini.


Dr. M akan sertai Umno pada masa yang tepat

0 comments

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau hanya akan kembali menyertai Umno pada suatu masa yang tepat.

Bercakap kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini malam ini, Mahathir yang juga bekas presiden parti itu berkata pelbagai pihak telah berusaha meyakinkan dan memujuknya agar kembali kepada Umno.

"Saya sedang memikirkan untuk menyertai semula Umno, tetapi saya akan menentukan sendiri masa yang sesuai.

"Permohonan (untuk menyertai semula Umno) adalah satu perkara, penerimaan mereka juga harus difikirkan. Jadi saya mahu waktu yang tepat (untuk menyertai semula)," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau didatangi oleh banyak pihak yang meyakinkan beliau bahawa beliau boleh membawa kebaikan kepada Umno, parti yang menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional, jika menyertainya semula.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berpendapat penulis blog Raja Petra Kamarudin dan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok tidak harus ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mereka tidak melakukan ketegangan.

Beliau berkata adalah tidak benar sekiranya kedua-dua individu terbabit didakwa menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara hanya kerana meluahkan pandangan masing-masing.

Beliau mendakwa keadaan sekarang tidak begitu tegang jika dibandingkan pada 1987 yang menyaksikan 106 ahli politik ditahan dalam Operasi Lalang.

PM tolak gesaan Anwar sidang khas Parlimen bincang undi tidak percaya

0 comments

Kira-kira empat jam selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa diadakan sidang khas Parlimen sebelum 23 September ini bagi membincangkan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata: "Tidak perlu."

Abdullah ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno berkata, sidang tergempar Parlimen tidak perlu diadakan memandangkan Dewan Rakyat akan bersidang tidak lama lagi.

Dewan Rakyat dijadual bersidang 13 Oktober ini.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak nampak sebab perlunya diadakan sidang khas Parlimen kerana Dewan Rakyat akan mula bersidang selepas Aidilfitri.

Kata Abdullah, Anwar boleh membangkitkan apa jua perkara sebaik sahaja Parlimen bersidang kelak.

Pada sidang media pukul 2 petang di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, pihaknya mahu Perdana Menteri memanggil sidang tergempar Parlimen bagi membincangkan susana politik termasuk dakwaan kepercayaan ke atas Abdullah sudah terhakis.

Kelmarin, Abdullah telah menolak permintaan pertama Ketua Umum Pakatan Rakyat itu untuk membincangkan soal peralihan kuasa dan pembentukan kerajaan baru secara aman.

Anwar menjelaskan beliau tidak memaklumkan perkara itu kepada Speaker Dewan Rakyat kerana berdasarkan peraturan mesyuarat tersebut, ia hanya perlu dimaklum kepada Perdana Menteri yang akan memanjangkan kepada Speaker.

Kata Anwar, seandainya Perdana Menteri menolak permintaan tersebut beliau akan berbincang semula dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat untuk tindakan lanjut.

Pihak pembangkang akan membawa usul yang berbunyi "bahawa Dewan yang mulia ini telah hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya."

Ini kerana, menurut beliau, Peraturan Mesyuarat 11(3) yang memerlukan Parlimen untuk bersidang dengan segera kerana keadaan politik yang kritikal dan berlanjutan.

Ditanya mengapa tidak tunggu 13 Oktober ini iaitu tarikh Dewan Rakyat bersidang semula, beliau berkata, ia tidak boleh ditangguhkan kerajaan sebab majoriti di Dewan Rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri.

"Saya ada cukup jumlah Ahli Parlimen. Ini bermakna kami ada suara majoriti untuk mengadakan undi tidak percaya kepada beliau dan kerajaannya," kata beliau.


"Mereka kata Anwar pembohong, tapi saya tak gila"

0 comments

"Mereka kata Anwar pembohong, tapi saya tak gila."

Demikian reaksi Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini apabila ditanya lagi butiran mengenai senarai ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang dikatakan telah bersetuju untuk beralih ke Pakatan Rakyat bagi membolehkan kerajaan baru persekutuan dibentuk.

Hari ini beliau berkata, seramai 35 Ahli Parlimen BN telah menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan.

Kelmarin - pada 16 September - Anwar yang dikatakan bakal mengumumkan senarai Ahli Parlimen BN yang sedia melompat parti berkata, beliau sudah ada bilangan wakil rakyat yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Anwar yang turut diminta memperkenalkan semua Ahli Parlimen seperti yang didakwanya mencukupi untuk membentuk kerajaan, terus merahsiakan maklumat tersebut atas alasan keselamatan.

"Kami ada senarainya, saya dah kata nak tunjukkan kepada Perdana Menteri nanti.

"Lagi pun ahli-ahli Parlimen berkenaan yang meminta saya agar tidak umumkan dulu sehingga masanya sesuai kerana bimbang akan keselamatan (mereka)," katanya.

Pada sidang media kelmarin, Anwar tidak mengumumkan senarai nama Ahli Parlimen yang bakal melompat parti itu.

Sebaliknya kata Anwar, beliau bersedia dan hanya akan mengumumkan nama-nama Ahli Parlimen BN kepada Abdullah terlebih dahulu.

"Sebaik sahaja jumpa Perdana Menteri, kita akan patuh mengikut Perlembagaan termasuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong," kata beliau.

Bagaimanapun pada hari yang sama Abdullah menolak permintaan Anwar itu.

Anwar juga menyelar tuduhan kasar Perdana Menteri semalam yang mendakwa beliau merupakan ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara.

"Nampaknya Perdana Menteri tidak faham kandungan surat itu.

"Saya tulis untuk berbincang mengenai masalah kestabilan negara dan arah tuju politik," katanya.

"Saya guna bahasa yang sopan, tidak pula saya nak kata untuk adakan perbincangan bagi gulingkan beliau dan kerajaannya," katanya dengan sinis apabila ditanya mengenai pandangan Abdullah bahawa Anwar merupakan ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara.

Sama ada tanding atau tidak biar saya buat keputusan - Abdullah

0 comments

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata, sebarang keputusan berkaitan kedudukannya sebagai Presiden Umno dan juga peralihan kuasa akan dibuat oleh beliau sendiri.

Perdana Menteri berkata, sebarang perubahan kepada pelan peralihan kuasa itu akan beliau bincangkan dengan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sebab mesyuarat (bahagian) belum bermula lagi dan apa-apa yang perlu saya laksanakan, dan apa-apa tindakan yang akan saya buat sekali lagi ke, apa ke, itu terserah kepada sayalah.

"Saya akan cakap dengan (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Najib, tak payah ulang-ulanglah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini.

Abdullah ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti kali ini yang dijadualkan pada Disember memandangkan persidangan Umno bahagian akan bermula 9 Oktober ini.

Perdana Menteri turut mengulangi kenyataannya bahawa sebarang perubahan yang mungkin berlaku dalam proses peralihan kuasa akan dibincangkan dengan Najib dan keputusan yang dibuat akan dibawa ke Majlis Tertinggi.

Abdullah juga berkata, isu pelan peralihan kuasa itu tidak dijelaskan semula dalam mesyuarat MT hari ini.

"Saya tidak beri penjelasan semula. Saya hanya kata yang saya sedar, saya sentiasa mendengar, saya sedang memberi perhatian kepada apa yang berlaku mengenai situasi sekarang ini dalam parti.

"Apa-apa juga keputusan yang akan saya buat mengenai perkara ini akan saya bincang dulu dengan Datuk Seri Najib, kemudian keputusan itu akan dibawa untuk makluman Majlis Tertinggi," katanya.

Semalam Abdullah dilapor berkata, walaupun beliau dan Najib komited dengan pelan peralihan kuasa yang dirancang pada tahun 2010, pengunduran beliau mungkin berlaku lebih awal

Tindakan ke atas Anwar, kerajaan lihat suasana negara - Syed Hamid

0 comments

Kementerian Dalam Negeri akan memantau keadaan dan suasana dalam negara termasuk tindak tanduk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum mengambil sebarang tindakan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, keselamatan dan ketenteraman awam penting bagi memastikan negara dalam keadaan aman dan manamana pihak yang cuba menjejaskannya boleh dikenakan tindakan.

Bagaimanapun, beliau meminta orang ramai agar jangan membuat sebarang andaian atau spekulasi mengenai tindakan kementeriannya.

"Lebih baik kita tengok suasana... bila tiba masanya jika perlu ambil tindakan kita akan ambil tindakan, tapi jangan buat spekulasi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam berkata Anwar kini sudah menjadi ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara.

"Kita akan melaksanakan tugas untuk memerintah dan mentadbir sebagai mandat yang diberikan kerajaan.

"Apa tindakan yang akan kita ambil, kita akan ambil bila tiba masanya tapi saya tidak mahu bincangkan perkara ini sebelum masanya tiba dan perkara itu berlaku," kata Syed Hamid.

Syed Hamid berkata, tidak ada keperluan untuk membincangkan perihal Anwar setiap hari seolah-olah Malaysia ditadbir dan dikawal oleh Anwar.

"Kita tidak perlu tiaptiap hari bincang mengenai ketua pembangkang itu banyak lagi bendabenda yang boleh kita buat," katanya.

Mengenai penahanan penulis blog "Kickdefella", Syed Azidi Syed Aziz di rumahnya di Demit, Kota Baharu mengikut Akta Hasutan semalam, Syed Hamid berkata, ia adalah sebahagian daripada pelaksanaan undang-undang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pegawainya telah menerima laporan polis yang dibuat oleh Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok yang kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketika ditemui pada majlis yang sama, Ismail berkata bagaimanapun, beliau belum melihat laporan tersebut.

Semalam, Teresa melalui peguamnya Sankara Nair membuat laporan polis dan menyaman akhbar Utusan Malaysia, Pengarangnya Zaini Hassan dan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo kerana memfitnahnya berkaitan isu larangan azan di sekitar Kota Damansara, Sri Serdang dan Puchong Jaya.

Najib dilantik Menteri Kewangan

0 comments

ABDULLAH Ahmad Badawi dan Mohd. Najib Tun Razak pada sidang media di Putrajaya petang ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dilantik sebagai Menteri Kewangan yang baru berkuat kuasa serta-merta.

Ia diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebentar tadi.

Abdullah pula akan mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan yang disandang Najib.

Najib mengambil alih jawatan itu daripada Abdulllah yang merupakan Menteri Kewangan sejak Oktober 2003.

Pada masa yang sama, Abdullah berkata, pelan peralihan kuasa akan dilaksanakan sebagaimana telah dipersetujui oleh beliau dan Najib sebelum ini iaitu Jun 2010.

Pertukaran portfolio pertahanan dan kewangan oleh Abdullah dan Najib dilihat sebagai sebahagian daripada proses penyerahan kuasa daripada Perdana Menteri kepada timbalannya itu pada Jun 2010.

Kedua-dua pemimpin juga komited dengan tempoh peralihan kuasa seperti yang ditetapkan sebelum ini, dan untuk pemilihan Umno pada Disember ini, Abdullah akan mempertahankan jawatan Presiden Umno dan Najib sebagai Timbalan Presiden parti.

Tan Sri Nor Mohamed Yakcop merupakan Menteri Kewangan Kedua.

Bercakap pada sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Najib di Putrajaya hari ini, Perdana Menteri berkata, portfolio kewangan adalah penting dalam mengambil kira situasi ekonomi semasa dan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Kata Abdullah, beliau yakin Najib akan dapat melaksanakan peranannya yang amat penting itu terutama dalam memastikan ekonomi teguh dan kuat menghadapi cabaran.

Abdullah berkata, dengan kedudukan Najib sebagai Menteri Kewangan kini, beliau (Najib) boleh memainkan peranan yang lebih penting apabila berada di New York untuk menghadiri Persidangan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan.

Ini kerana, sebagai Menteri Kewangan, Najib akan dapat menemui pelabur dan pengurus dana semasa di New York nanti, kata Perdana Menteri.

Abdullah turut mengumumkan Najib kini mengambil alih jawatan Timbalan Pengerusi Khazanah sejajar dengan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan. Jawatan itu sebelum ini disandang oleh Abdullah.Najib pula berkata, langkah Perdana Menteri melantiknya sebagai Menteri Kewangan menggambarkan keikhlasan Abdullah bahawa beliau adalah penggantinya kelak.

"Ia melambangkan keyakinan Perdana Menteri pada saya sebab saya akan sentiasa bincang dan rujuk pada Perdana Menteri, khususnya berkaitan dengan ekonomi, hala tuju ekonomi dan keutamaan ekonomi, supaya dasar,dasar kerajaan lebih jelas dan tepat," kata Najib.

Ditanya mengenai penurunan harga minyak mentah dunia sekarang, Abdullah berkata: "Lagi turun lagi baik."

Harga minyak mentah dunia semalam mencatatkan AS$92 setong.

Bagaimanapun Abdullah berkata penurunan harga minyak dunia itu juga akan menyebabkan pengurangan pendapatan Petronas.

Ditanya sama ada harga pengguna bagi petrol dan diesel akan dikurangkan, Abdullah berkata: "Tunggulah lain kali."

Sapp keluar BN, lepaskan jawatan kerajaan negeri

0 comments

PEMIMPIN-pemimpin Parti Maju Sabah termasuk Yong Teck Lee (tiga dari kiri, depan) selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di Kota Kinabalu hari ini.

Parti Maju Sabah (Sapp) yang menggerakkan usul undi tidak percaya kepimpinan Perdana Menteri empat bulan lalu hari ini memutuskan untuk keluar Barisan Nasional (BN).

Dengan pendirian itu, Sapp akan bertindak sebagai parti Bebas di dewan perundangan.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi Sapp hari ini.

Presiden Sapp, Datuk Yong Teck Lee semasa mengumumkan keputusan tersebut hari ini berkata, ia dicapai dalam mesyuarat khas Majlis Tertinggi parti itu.

"Majlis Tertinggi Sapp dengan ini mengisytiharkan bahawa Sapp bukan lagi anggota komponen BN.

"Anggota Sapp yang memegang jawatan politik secara lantikan dalam cabang eksekutif kerajaan akan meletak jawatan mereka dengan memberi notis seperti yang dikehendaki perlembagaan, peraturan dan undang-undang berkaitan, bermula dari peringkat Kabinet," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat di Ibu Pejabat Sapp di Kota Kinabalu.

Yong mendakwa BN telah hilang "semangat BN" dan bukannya rakyat yang tidak mahu BN, tetapi BN yang meninggalkan rakyat.Bagaimanapun Yong menolak khabar angin bahawa Sapp akan menyertai Pakatan Rakyat.

"Kami tidak akan memohon untuk menyertai Pakatan Rakyat," katanya dan menambah parti itu membuka pilihan untuk mengadakan perundingan dengan pertubuhan politik lain.

"Mulai hari ini, Sapp akan menjadi pembangkang yang berkualiti sehingga tiba masanya kami kembali sebagai kerajaan," katanya.

Ditanya mengenai kerajaan mana yang dimaksudkannya, beliau berkata, "sebarang kerajaan yang memerintah."

Yong berkata, dalam mesyuarat hari ini, dua daripada anggotanya yang hadir menolak keputusan untuk keluar BN iaitu Timbalan Presiden, Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan Naib Presiden, Jimmy Wong.

Ekoran keputusan itu, Timbalan Presiden Sapp, Datuk Raymond Tan berkata, beliau akan melepaskan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dalam tempoh 24 jam.

Kata Tan, beliau belum memutuskan sama ada meninggalkan Sapp ataupun sebaliknya.

Tan merupakan antara pemimpin dalam Sapp yang tidak bersetuju dengan usul tidak percaya kepimpinan Abdullah yang dibawa parti itu.

Presiden Sapp, Datuk Yong Teck Lee pada Jun lepas berkata parti itu telah hilang keyakinan terhadap Abdullah dan dua anggota Parlimennya - Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr. Chua Soon Bui (Tawau) - akan menyokong sebarang usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

Keadaan itu menyebabkan Majlis Tertinggi BN mengeluarkan surat tunjuk sebab yang telah dijawab oleh SappP, tetapi BN masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

Selain dua Ahli Parlimen, Sapp juga mempunyai empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Yong berkata, dua lagi anggota MT tidak dapat hadir kerana seorang daripadanya sedang bercuti sementara seorang lagi sedang dalam tugas di Kuala Lumpur sementara Naib Presiden, Au Kam Wah yang juga ADUN Elopura memilih untuk tidak hadir.

Ditanya sama ada beliau telah dimaklum mengenai keputusan Au untuk keluar parti, Yong berkata, "beliau (Au) berkata beliau tidak akan bersama status kami di luar BN. Perkataan "meletak jawatan" tidak disebut tetapi maksudnya adalah sama."

Mengenai perasaan berbelah bahagi di kalangan anggota parti berhubung keputusan SappP keluar BN dan sama ada beliau menjangka perpecahan akan berlaku, Yong berkata, beliau tidak fikir begitu kerana percaya Sapp menerima sokongan padu daripada rakyat.

"Sesetengah orang berkata ia terlalu cepat, sesetengah berkata ia terlalu lama (untuk membuat keputusan) tetapi kami melihat kepada keadaan, dan masa telah tiba untuk menolak segala keraguan.

"Beberapa bulan lepas, (kami telah memperhalusi sama ada) kami perlu kekal atau keluar. BN tidak membuat sebarang keputusan untuk memecat kami, oleh itu selepas dua bulan, mungkin kami lihat masanya sudah tiba," katanya.

Yong menjelaskan, dengan mengenepikan SAPP daripada empat mesyuarat eksekutif Dewan Tertinggi BN dan dua mesyuarat jawatankuasa pengurusan sejak ia mengisytiharkan hilang keyakinan terdapat kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 18 Jun lepas, BN secara berkesan menyingkirkan keanggotaan Sapp.

Ditanya sama ada Sapp akan menimbang menyertai Pakataan Rakyat sekiranya gabungan pembangkang itu berjaya membentuk kerajaan baru, Yong berkata, mereka akan membuat keputusan "sekiranya hari itu tiba."

"(Penasihat DAP) Lim Kit Siang telah menimbulkan terminologi baru iaitu 'Pakatan plus', tetapi kami di Sabah berharap mempunyai 'Sapp plus'," katanya.

Ditanya pula sama ada Sapp akan menimbang untuk menyokong semula BN sekiranya Abdullah meletak jawatan, beliau berkata, "sekiranya kapal karam, kaptennya akan turut terjun."

Beliau berkata, beliau akan menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk memaklumkan mengenai keputusan SappP keluar BN.

Pak Lah: Pelan peralihan 2010 mungkin dilaksana lebih awal

0 comments

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui dengan timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2010 mungkin dapat dilaksanakan lebih awal.

"Tempoh waktunya fleksibel. Ia mungkin jika saya mahu pergi lebih awal tetapi tidak melangkaui 2010," kata Perdana Menteri dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. Turut hadir ialah Najib.

Abdullah berkata pelan peralihan kuasa itu antara lain bergantung kepada prestasi Najib.

Menjawab soalan berhubung tempoh masa itu, Abdullah berkata: Ia boleh jadi di antara sekarang dengan Jun 2010."

Sambil menyatakan bahawa keduadua pemimpin komited dengan pelan penyerahan, Abdullah berkata, beliau akan mengekalkan kerusi Presiden UMNO manakala Najib mengesahkan bahawa beliau tidak akan mencabar Abdullah dalam pemilihan UMNO pada Disember.

Ketika ditanya lebih lanjut berhubung tempoh masa itu, Abdullah berkata: " Ia bukan untuk anda tanya dan untuk saya menjawab."

Abdullah berkata perkara itu akan diputuskan dengan sewajarnya apabila proses penyerahan mengambil tempat.

Sementara itu, Najib berkata beliau dan Perdana Menteri telah mencapai persetujuan seperti yang digambarkan oleh Abdullah.Sehubungan dengan itu, beliau berharap pelan peralihan kuasa itu dapat diterima oleh parti demi kestabilan negara dan keutuhan parti.

Najib juga berkata beliau tidak menerima sebarang pencalonan untuk kerusi Presiden kerana beliau komited dengan pelan penyerahan kuasa itu.

Pelan 16 Sept:. PM tolak, Pakatan rancang menghadap Agong

0 comments

Pakatan Rakyat meneruskan agenda mereka untuk menubuhkan kerajaan baru dengan mengatur strategi seterusnya iaitu untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Syed Husin Ali ketika dihubungi berkata, Pakatan Rakyat sedang merangka pelan susulan yang bersesuaian bagi memastikan proses peralihan kuasa berlaku dalam tempoh terdekat.

"Kita akan mengutus surat kepada pihak Istana Negara bagi memohon perkenan Tuanku untuk mengadakan pertemuan berkenaan perkara ini.

"Bagaimanapun berdasarkan apa yang saya tahu, surat itu masih belum dikeluarkan... tunggulah dalam satu atau dua hari lagi," katanya.

Pakatan Rakyat mengambil pendekatan terbaru ini setelah usaha Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi gagal.

"Tak mengapa jika dia (Abdullah) tolak permohonan kita untuk adakan perbincangan. Usaha kita tak terhenti di situ, malah kita sentiasa ada perancangan untuk memastikan usaha kita berjaya," katanya.

Tambah beliau, ramai pihak terutamanya pemimpin Barisan Nasional (BN) sudah tersalah anggap mengenai tarikh 16 September bahawa Pakatan Rakyat akan membentuk kerajaan baru.

"Mereka salah anggap, 16 September hanyalah permulaan proses bagi kita untuk menubuhkan kerajaan, bukan menguasai kerajaan pada tarikh tersebut," katanya.

Menurutnya lagi, beliau amat berkeyakinan bahawa kerajaan baru yang bakal diterajui Pakatan Rakyat akan dapat dibentuk secepat mungkin kerana rakyat telah memberikan isyarat untuk melihat perubahan dalam negara.


PM: Anwar kini ancaman ekonomi, keselamatan negara

0 comments

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah menjadi satu ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara.

Perdana Menteri berkata, tindak-tanduk Anwar selama ini bukan sahaja menjejaskan kestabilan politik tetapi juga kestabilan ekonomi.

"Ekoran tindak-tanduk Anwar itu, terdapat pengurus dana yang membuat laporan kononnya Malaysia bukan tempat yang baik untuk membuat pelaburan kerana suasana politik negara yang tidak menentu," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Ditanya mengenai tindakan yang bakal diambil oleh kerajaan terhadap Anwar ekoran ancaman tersebut, Abdullah berkata, kerajaan akan melakukan apa yang perlu.

Abdullah berkata, Anwar telah banyak membuat pembohongan mengenai kedudukan ekonomi negara termasuk kononnya tiada kemasukan pelaburan asing langsung (FDI), dan negara tidak mempunyai daya saing. Sebaliknya, Abdullah berkata, FDI sebenarnya masih mengalir ke dalam negara ini, malah Malaysia merupakan antara negara yang diminati oleh pelabur.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelaburan, dan yang turut hadir pada sidang akhbar itu, mencelah dengan berkata, kadar pelaburan tahun ini mungkin lebih tinggi dari tahun lepas.

Mengenai kedudukan daya saing negara pula, Abdullah berkata, Malaysia mencatatkan kedudukan lebih baik dari tangga ke-23 kepada tangga ke-19 sekarang.

"Anwar mahu melingkupkan negara dan mengekploitasi kepercayaan orang dan memperlecehkan negara di luar negeri," kata Perdana Menteri.

Najib juga berkata, permainan politik Anwar boleh memberi kesan kepada ekonomi negara. Najib meminta orang ramai agar tidak menjadi mangsa kepada mainan politik Anwar itu.

"Liputan media juga janganlah terperangkap dengan mainan politik itu kerana ia boleh memberi kesan psikologi," katanya.

Beliau juga berkata, mainan politik itu hendaklah dihentikan dengan segera.

Abdullah juga mengulangi kenyataannya enggan berjumpa dengan Anwar walaupun diminta oleh Anwar kerana bimbang kenyataannya akan diputarbelitkan oleh Anwar.

Abdullah menafikan terdapat surat peralihan kuasa yang dihantar oleh Anwar kepadanya.

"Tidak ada langsung, bayang pun tidak ada," katanya.

Abdullah menjelaskan surat yang dihantar oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepadanya kelmarin hanya menyentuh soal keselamatana negara, masalah moral dan politik negara.

"Yang kait dengan peralihan kuasa tidak ada. Jadi dia bohong rakyat dan ini untuk mengelirukan rakyat," katanya.

Pelan 16 Sept: Kenyataan media Anwar Ibrahim

0 comments

Hari ini rakyat Malaysia menyambut Hari Malaysia - hari di mana negara kita menjadi satu dan rakyatnya bersatu. Hari ini mempunyai makna baru. Selepas bertahun berjuang, melawan sistem yang dilanda dan mengabaikan prinsip keadilan - kita sekarang berada di ambang kemenangan.

Hasrat kita untuk membina semula negara dan menyatupadukan rakyat Malaysia sebagaimana yang dicita-citakan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan sudah semakin dekat.

Keadaan ekonomi yang merudum jatuh dengan kadar pengangguran dan inflasi yang tinggi telah menyebabkan rasa tidak puas hati rakyat yang meluap-luap.

Hubungan antara kaum menjadi tegang, diburukkan lagi dengan propaganda oleh media yang dikawal oleh kerajaan. Pentadbiran sekarang gagal untuk menawarkan jawapan buat negara kita keluar dari kedudukan sukar ini.

Pakatan Rakyat yakin dapat menyelamatkan Malaysia dari masalah ekonomi dan politik berbaur perkauman.

Kami akan melaksanakannya secara bertanggungajwab, menuruti prinsip undang-undang dan tidak akan sama sekali menjejaskan keselamatan dan kestabilan negara dan rakyat negara ini.

Pakatan Rakyat kini memiliki majoriti yang selesa untuk membentuk sebuah kerajaan baru yang stabil. Kerajaan baru yang mencerminkan masyarakat Malaysia yang majmuk.

Jesteru itu kami ingin duduk semeja dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk melaksanakan peralihan kuasa secara bertanggungjawab, lancar dan aman.

Hasrat ini telah kami sampaikan kepada Perdana Menteri melalui surat yang dikirimkan pukul 2.30 petang semalam.

Dengan mandat ini kami bertekad untuk melaksanakan peralihan kuasa yang aman. Kami tidak ingin berulangnya peristiwa yang berlaku sewaktu mengambil alih kuasa di negeri Perak dan Selangor, di mana dokumen milik kerajaan negeri di lupuskan oleh pentadbiran terdahulu.

Kami mengingatkan kepada elemen radikal di dalam Barisan Nasional agar tidak menyalahgunakan kuasa serta menahan para penyokong Pakatan Rakyat. Penyiasatan yang dibuat secara tergesa-gesa oleh BPR terhadap Dato Seri Yong Teck Lee selepas mengumumkan akan membuat undi tidak percaya terhadap Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan di antara taktik yang kita tolak. Penggunaan ISA terhadap Ahli Parlimen Teresa Kok merupakan contoh untuk menghalang perubahan dengan tidak mengikut lunas-lunas perundangan.

Justeru itu kami ingin duduk semeja dengan Perdana Menteri Abdullah Badawi untuk melaksanakan peralihan kuasa secara bertanggungjawab, lancar dan aman. Hasrat ini telah kami sampaikan kepada Perdana Menteri melalui surat yang dikirimkan pukul 2.30 petang semalam dan kami menuntut beliau memberi perhatian terhadap beberapa perkara seperti berikut :

1) Agar Barisan Nasional tidak menghalang ahli Parlimennya dari bertindak menurut suara hati mereka, hak yang dijamin undang-undang serta keputusan yang mereka buat tanpa paksaan.

2) BN tidak boleh menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk menahan ahli Parlimen yang berhasrat untuk menyertai Pakatan Rakyat atau ahli parlimen Pakatan Rakyat yang berjumlah 82 itu.

3) Kerajaan BN tidak seharusnya menggunakan kuasa darurat, kuasa polis, atau menggantung perlembagaan mahupun membubarkan parlimen di dalam usaha mereka untuk menghalang Pakatan Rakyat dari berkuasa.

4) Dan Kerajaan Barisan Nasional tidak membuat sekatan jalan raya dan menghalang ahli Parlimen, dari memasuki Parlimen dan juga institusi-institusi kerajaan lainnya.

Kami yakin Perdana Menteri berkongsi keperihatinan yang sama terutamanya berkenaan kebajikan rakyat dan keselamatan negara. Kami percaya beliau akan memastikan Barisan Nasional bertindak mengikut Perlembagaan dan prinsip-prinsip demokratik demi memastikan peralihan kuasa yang aman, serta tiada tindakan sabotaj untuk menghalang hasrat rakyat ataupun menggunakan retorik berbaur perkauman.

Kami menyeru masyarakat di semua lapisan agar memahami hasrat kami semata-mata untuk kebaikan negara ini.

Saya juga ingin mengingatkan media massa jangan lagi berada di dalam penafian dengan meneruskan propaganda bahawa kami berbohong. Kita sekarang berada dalam era baru maka saya menyeru media massa meninggalkan tabiat lama dan mengambil iltizam untuk meningkatkan profesionalisme kewartawanan.

Selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, kami berhasrat untuk meneruskan gerak kerja kami sebagaimana yang digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan di dalam kami membentuk kerajaan baru dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Abdullah: Kerajaan yang ada teguh

0 comments

Setelah pembangkang gagal untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara hari ini seperti yang digembar-gemburkan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan yang ada teguh dan masih meneruskan tugas, peranan dan kuasa yang diberikan oleh rakyat.

Sambil meminta rakyat supaya tidak terpesong dengan dakyah pembangkang terutamanya ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya mereka akan mengambil alih tampuk pemerintahan negara, Perdana Menteri berkata kerajaan akan melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat dan menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat.

"Kerajaan akan terus memberi khidmat kepada rakyat dan membangunkan ekonomi negara," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini selepas mengadakan mesyuarat dengan semua Ketua Setiausaha kementerian.

Abdullah berkata rakyat hendaklah menumpukan usaha kepada kerja mereka manakala kerajaan berusaha mengatasi masalah rakyat.

Abdullah berkata rakyat tidak perlu kelamkabut dengan pembohongan Anwar itu sehingga merugikan masa dan semua usaha mereka tergganggu.

Beliau menyifatkan hasrat Anwar hendak mengambil alih pemerintahan negara dan menjadi Perdana Menteri pada hari ini sebagai "suatu impian Anwar" sahaja.

Sebelum ini, Anwar telah beberapa kali berkata bahawa hari ini 16 Sept adalah tarikh untuk Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan negara kerana ramai Anggota Parlimen daripada Barisan Nasional akan menyertai pembangkang.

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS kini mempunyai 81 Anggota Parlimen manakala BN pula menguasai 140 kerusi. Seorang lagi adalah wakil Bebas.

Mengenai dakwaan Anwar kononnya pembangkang sudah mempunyai senarai Anggota Parlimen BN yang akan menyertai mereka, Abdullah berkata Anwar boleh bercakap apa sahaja yang dia mahu. "Memang sudah menjadi lumrah Anwar dari dahulu sehingga sekarang suka memperkatakan sesuatu untuk menarik perhatian umum," katanya.

Perdana menteri berkata beliau pasti bahawa selepas ini Anwar akan mengubah pula tarikh mengambil alih tampuk pemerintahan negara setelah gagal hari ini.

Ditanya mengenai kebimbangan rakyat terhadap perkembangan politik semasa negara, beliau berkata tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana semuanya adalah satu pembohongan politik Anwar.

"Akhbar pula terlampau asyik mengutarakan berita-berita politik sehinggakan satu hari sampai 10 muka surat disediakan untuk tujuan itu," katanya.

Mengenai pertemuannya dengan Ketua-ketua Setiausaha itu, Abdullah berkata beliau menekankan tentang pentingnya mereka tidak terganggu dengan perkembangan politik dan ekonomi negara semasa melaksanakan tugas.

"Apa jua keraguan dan gangguan yang timbul boleh menjejaskan prestasi perkhidmatan awam dan seterusnya menjejaskan harapan rakyat terutama terhadap program yang dirancangkan untuk mereka," katanya.