Featured

About this Blog

Najib terharu dinamakan sebagai pengganti Abdullah

0 comments

Datuk Seri Mohd Najib berkata, beliau sangat terharu dengan kepercayaan yang diberikan kepada beliau oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengambil alih kuasa menerajui Umno dan Barisan Nasional.

"Bukan mudah untuk melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, tetapi demi menghormati pandangan umum beliau (Abdullah) sanggup buat begitu," katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dan taklimat khas bersama Presiden dan Timbalan Presiden Umno di sini hari ini.

Abdullah sebelum itu mengumumkan Najib sebagai pilihan beliau untuk mengambil alih jawatan presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional apabila beliau berundur pada Jun 2010.

Najib menjadi timbalan kepada Abdullah sejak Oktober 2003.

Najib berkata, mulai hari ini, proses itu akan bermula secara terusun dan teratur mengikut tradisi Umno dan ini akan memastikan proses peralihan kuasa dibuat tanpa berlaku sesuatu yang boleh meninggalkan kesan negatif kepada parti.

"Saya tetap menganggap dia sebagai ketua saya. Hubungan kami sangat akrab dan saya hendak melihat hubungan ini berterusan selepas peralihan kuasa itu," katanya.

Abdullah hari ini mengumumkan proses peralihan kuasa untuk menyerahkan keduadua jawatan tertinggi parti itu kepada Najib pada pertengahan 2010.

Najib berkata hubungannya dengan Abdullah amat akrab selama ini dan berharap keakraban itu akan berterusan dan berkekalan kerana Umno memerlukan sokongan padu daripada pemimpin dulu dan sekarang serta anggotanya.

"Proses kepimpinan boleh dibuat dengan cara baik tanpa membelakangkan tradisi atau sesuatu yang membawa kepada imej negatif kepada Umno atau pengundi," katanya.

Beliau berkata dalam tempoh peralihan kuasa itu beliau tetap menganggap Abdullah sebagai ketuanya.

"Dalam tempoh peralihan kuasa Perdana Menteri akan tentukan peranan dan perancangan, saya tetap menganggap beliau sebagai ketua saya," katanya.

Najib turut mengumumkan kesediaannya untuk bertanding bagi mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini dan mengharapkan sokongan padu daripada anggota parti.

"Saya minta supaya sokongan padu diberikan kepada pencalonan Perdana Menteri sebagai presiden parti dan saya rayu supaya pelan peralihan ini diterima parti kerana suara parti yang akan menentukan," katanya.


Sah, Pak Lah serah Najib kepimpinan Jun 2010

0 comments

INI PENGGANTI SAYA... Mungkin ini yang cuba disampaikan oleh Abdullah Ahmad Badawi dengan menepuk bahu Mohd. Najib Tun Razak (kiri) pada sidang akhbar yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur petang tadi.


Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan beliau akan menyerahkan tampuk kepimpinan negara dan parti secara berperingkat kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menjelang pertengahan 2010.

Peralihan kuasa Abdullah-Najib berkuat kuasa mulai hari ini dan akan lengkap sepenuhnya Jun 2010.

Perkara ini diumumkan oleh Abdullah selepas majlis Taklimat Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini sebentar tadi.

Kata Abdullah, keputusan mengatur peralihan kuasa ini tidak dipengaruhi oleh sebarang bentuk tekanan dalam Umno supaya beliau meletakkan jawatan.

Abdullah telah didesak oleh pelbagai pihak supaya beliau berundur daripada jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri ekoran keputusan kurang memberangsangkan parti itu dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu.

Malah, Abdullah yang mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan pada Oktober 2003 juga mengulangi bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya pada Disember ini dan mahu Najib kekal sebagai timbalannya.

Pada sidang akhbar hari ini Abdullah juga mengumumkan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden boleh ditandingi oleh sesiapa sahaja.

Kata Abdullah, proses peralihan kuasa itu bermula hari ini dan dengan keputusan itu beliau tidak akan memimpin BN pada pilihan raya umum akan datang yang dijangka pada 2012 atau 2013.

"Saya ambil kesempatan memaklumkan kepada anggota Majlis Tertinggi pada mesyuarat tadi bahawa saya telah mencapai kesepakatan dengan Datuk Seri Najib bahawa saya tidak akan mempimpin parti BN dan Umno pada pilihan raya yang akan datang yang ke13.

"Dan juga ini bermakna satu peralihan kuasa perlu diwujudkan. Saya maklumkan kepada MT ia bermula dengan apa yang saya umumkan hari ini.

"Iaitu saya bercadang untuk menyerahkan jawatan kepada Najib untuk ambil alih jawatan presiden parti dalam pertengahan Jun atau pertengahan tahun 2010," katanya.

Kira-kira tiga minggu lalu ketika berada di Kelantan dan Terengganu, Abdullah mengumumkan bahawa beliau telah mencapai kata sepakat dengan Najib berhubung peralihan kuasa dan tarikhnya akan diumumkan kelak.

Ketika ditanya mengapa memilih tempoh 23 bulan untuk menyerahkan kuasa, Abdullah memberitahu, beliau mahu memberi masa yang cukup kepada Najib untuk bersedia memikul tanggungjawab tersebut.

Selain itu, kata Abdullah, beliau mahu memastikan program pembangunan yang dirancang termasuk Rancangan Malaysia Kesembilan dilaksanakan dengan sebaik yang mungkin menjelang tahun 2010.

Abdullah menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri lima tahun lalu dengan Najib menjadi timbalannya.

Kedua-dua mereka menang tanpa bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada 2004.

Majlis Tertinggi (MT) Umno selesai mengadakan mesyuaratnya kira-kira pukul 5.30 petang tadi dan disusuli dengan Taklimat Presiden di Dewan Merdeka.

Taklimat diberikan oleh  Abdullah yang turut mempengerusikan mesyuarat MT lebih dua jam.

Mesyuarat MT dan Taklimat Presiden diadakan kira-kira seminggu menjelang mesyuarat agung tahunan lebih 20,000 cawangan Umno.

Taklimat Presiden diberikan kepada 191 ketua Umno bahagian.

Azizah serah usul undi tidak percaya PM di Parlimen petang ini

0 comments
Pakatan Rakyat memfailkan di Parlimen usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi petang ini dan ia dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin ini.

Ia akan dibawa oleh Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR.

Pada waktu usul itu difailkan di Pejabat Speaker Dewan Rakyat pada pukul 3.45 petang ini, Majlis Tertinggi (MT) Umno akan mengadakan mesyuaratnya di Menara Dato' Onn di sini.

Azizah memasuki pejabat Speaker pada pukul 3.35 petang tadi dengan diiringi pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, antaranya Naib Presiden PKR, Azmin Ali; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PAS, Kamaruddin Jafar.

Perkembangan membawa usul itu merupakan yang kedua dalam tempoh sebulan ini.

Tiga minggu lalu Parti Maju Sabah (SAPP) - parti komponen Barisan Nasional (BN) melahirkan pendirian tidak percaya kepimpinan Abdullah dan memutuskan untuk membawa usul yang serupa pada 23 Jun lalu apabila Dewan Rakyat mula bersidang selepas berehat selama tiga minggu.

Bagaimanapun usul berkenaan tidak menjadi kenyataan dan semalam SAPP mengulangi bahawa usul sedemikian akan diteruskan kelak.



Azizah dalam sidang akhbar berkata, pihaknya membawa usul berkenaan dengan mengambil kira keadaan ekonomi yang semakin teruk.

Usul itu di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2).

Keputusan kes liwat akan tentukan sokongan rakyat pada PKR

0 comments
BENARKAH kredibiliti Anwar tercalar setelah terpaksa menghadapi dakwaan liwat untuk kali kedua?

Barangkali seperti kata penganalis politik Prof Datuk Dr Zainal Kling, sokongan rakyat bakal menentukan sama ada Pakatan Rakyat mampu mengharungi kontroversi yang menyelubungi Anwar sekarang sebagai sebuah pakatan atau masing-masing akan menjarakkan diri daripada PKR.

"Pada saya kredibiliti Anwar di kalangan anggota PKR tidak akan terjejas kerana berdasar pengalaman lalu beliau telah membersihkan dirinya daripada tuduhan sebelum ini. Jadi mereka akan anggap ini hanya tohmahan.

"Tetapi di kalangan orang awam barangkali timbul keraguan, menganggap isu ini sebagai sandiwara dan helah pemimpin PKR tersebut. Selain itu, perlu diingat walaupun Anwar dibebaskan di mahkamah, ada aspek-aspek (pada tuduhan liwat sebelum ini) yang tidak dihapuskan oleh mahkamah, jadi orang awam mungkin percaya," katanya.

Bekas dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya itu juga bersetuju dengan pendapat bahawa kenyataan yang dibuat pemimpin parti-parti sekutu PKR sebelum ini menggambarkan mereka tidak menolak kemungkinan tuduhan itu benar.

"Kesetiaan mereka (DAP dan Pas) dalam Pakatan Rakyat bergantung kepada keputusan penyiasatan, pengadilan dan penghakiman. Kalau keputusan akhirnya negatif kepada Anwar, maka saya percaya ia akan bawa kesan negatif kepada PKR dan masyarakat awam akhirnya," katanya.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Mohammad Agus Yusoff pula yakin kontroversi terbaru Anwar tidak akan menjejaskan kerjasama antara ketiga-tiga parti pembangkang itu buat masa ini.

Sebaliknya, kata beliau, masa yang ada sekarang akan dimanfaat barisan pembangkang untuk mempamerkan imej perpaduan menentang sebarang usaha yang didakwa mereka sebagai penyalahgunaan kuasa.

Katanya sekalipun jika keputusan akhir dalam kontroversi terbaru Anwar adalah negatif bagi pemimpin PKR itu, ia bergantung kepada tanggapan sama ada wujud ketelusan atau tidak dalam proses penyiasatan, perbicaraan dan penghakiman.

"Kalau ada tanggapan semua proses tersebut berlaku secara tidak telus, ini akan menguatkan lagi barisan pembangkang kerana mereka sekarang bersatu membawa imej menentang usaha yang didakwa mereka sebagai salah guna kuasa oleh kerajaan," kata Mohammad Agus, pensyarah Fakulkti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Tambahan pula, katanya, buat masa sekarang pemimpin DAP dan PAS masih beranggapan tuduhan terhadap Anwar itu lebih bersifat peribadi, bukan masalah kepartian. 

Berkenaan sokongan umum pula, Mohammad Agus berkata kontroversi terhadap Anwar tidak banyak menjejaskan pandangan umum terhadap Pakatan Rakyat kerana barisan pembangkang sedang meraih untung daripada keadaan ekonomi sekarang dengan menawarkan harapan yang ia akan berubah jika mereka meneraju pentadbiran.

"Politik berkait dengan harapan dan Pakatan Rakyat menawarkan harapan kepada rakyat yang keadaan akan menjadi baik tatkala masyarakat sedang tenat berdepan dengan krisis kenaikan harga minyak dan kesan yang dicetuskannya," katanya.

Sekalipun harapan itu belum tentu dapat ditunaikan, ia sudah cukup untuk membuat masyarakat menyokong Pakatan Rakyat, sekalipun peneraju barisan pembangkang itu sedang berdepan dengan isu moral.

Mohammad Agus bagaimanapun bersetuju Pakatan Rakyat tidak akan kekal untuk jangka masa lama kerana wujud perbezaan ideologi yang nyata antara mereka, khususnya antara PKR dan PAS yang membabitkan politik orang Melayu.

"PKR melihat politiknya sebagai politik rakyat sedangkan PAS pula adalah politik agama, dan melindungi agama Islam adalah keutamaan mereka.

"PKR juga mengamalkan apa yang kita kata sebagai mentaliti minoriti iaitu terlalu bergantung kepada sokongan kaum lain," katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Agus berkata politik amalan PKR itu memberi gambaran orang Melayu mempunyai mentaliti kaum minoriti kerana bergantung kepada sokongan kaum lain, sekalipun hakikatnya orang Melayu tidak perlu berbuat demikian kerana mereka kaum majoriti di negara ini.

Justeru, katanya, akan timbul kesulitan antara PAS dan PKR kerana PAS adalah sebuah parti yang didukung orang Melayu beragama Islam.

Walau apapun keputusan di akhir kontroversi yang menyelubungi Anwar, yang jelas Pakatan Rakyat tidak pernah mengeluarkan kenyataan secara mutlak kerjasama mereka akan berterusan untuk jangka masa panjang.

Malah, sebelum inipun, pemimpin daripada dua parti sekutu PKR itu memandang sepi perancangan Anwar untuk menumbangkan kerajaan BN selewat-lewatnya 16 Sept ini dan menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat, membayangkan keraguan mereka terhadap rancangan Anwar itu.

Bala 'berehat' untuk elak diganggu?

0 comments
Polis Bukit Aman telah berjaya mengesan Balasubramaniam dan telahpun mengambil keterangannya. Sumber terdekat memberitahu, Bala berada di negara jiran Singapura dan mengatakan perbelanjaan Bala ke negara jiran itu ditaja?

Spekulasi tentang 'misteri' kehilangan Bala bertiup kencang dengan bermacam teori. Setelah lima hari, baru jejaknya dapat dikesan. Itupun setelah mendapat bantuan polis Interpol.

Namun, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Mohd Bakri Zinin enggan menyatakan negara mana Balasubramaniam berada pada ketika ini bagi mengelak daripada gangguan oleh mana-mana pihak.

Kata Mohd Bakri, proses mengambil keterangan daripada Balasubramaniam itu telahpun dibuat oleh beberapa pegawai polis dari Bukit Aman yang dihantar ke negara berkenaan.

"Kita telah menghantar beberapa pegawai ke negara berkenaan bagi mengambil keterangan daripada Balasubramaniam dan beliau kini masih berada di negara itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jejak mengesan Balasubramaniam berjaya hasil maklumat dari pihak berkuasa negara berkenaan.

Ketika ditanya tarikh tepat bila polis berjaya mengesan Balasubramaniam, beliau berkata :"Tidak perlu tahu bila tarikhnya, yang pasti pegawai kita telah berada di negara berkenaan dan mengambil percakapan Bala".

Balasubramaniam dalam akuan bersumpah pertama bertarikh 1 Julai membuat pelbagai dakwaan yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Bagaimanapun, beliau menarik balik tuduhan itu dalam akuan bersumpah keduanya pada 3 Julai lepas.

Selepas menarik balik tuduhan dalam akuan bersumpah kedua, Bala terus hilang. Pada hari Jumaat lepas, anak saudaranya R.Kumaresan, 27 membuat laporan polis mengenai kehilangan bapa saudara dan keluarganya di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields ,Kuala Lumpur pada pukul 5 petang Sabtu. 

P.Balasubramaniam bersama isteri dan tiga anaknya masok kategori orang hilang. Kali terakhir Bala dilihat semasa berjalan keluar dari sebuah hotel di Kuala Lumpur pagi Jumaat bersama peguamnya selepas tarik balik akaun bersumpahnya berkaitan kes pembunuhan rakyat Mongolia Altantuya Shaariibu. 

Pada malam Isnin, jam 11.30 malam Kumaresan menerima satu panggilan telefon dari Bala sendiri dan terungkai misteri kehilangannya dan dia sekeluarga selamat. 

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar meminta orang ramai menghormati hak privasi Balasubramaniam untuk tidak diganggu.

Sementara Datuk Seri Najib Razak pula ketika diminta mengulas desakan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) supaya Bala dibebaskan, berkata: "Kita tak bertanggungjawab jaga dia... kena tanya dialah, mana kita tahu kat mana. Lagipun anak saudara dia dah jawab dia selamat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku Ibrahim Pahlawan Melayu di sini. 

Kelmarin, lebih 100 penyokong Hindraf mengadakan perhimpunan di Brickfields mendesak pihak berkuasa membebaskan Balasubramaniam dan mengugut akan menganjurkan protes besar-besaran jika permintaan itu tidak dipenuhi.