Featured

About this Blog

PM diminta siasat cara Anwar ditangkap

0 comments

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Keadilan Rakyat (KeAdiLan), Dato' Zahrin Hashim mendesak Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan siasatan tentang siri tangkapan Ketua Umum KeAdiLan, Dato' Seri Anwar Ibrahim minggu lepas.

Ini kerana, hasil pertemuan antara Perdana Menteri, dirinya dan Naib Presiden KeAdiLan, Azmin Ali beliau mengatakan tidak tahu menahu tentang tindakan polis seolah menangkap seorang penjenayah negara sebaliknya mendengar maklumat tangkapan daripada orang tertentu sahaja.

"Perdana Menteri diminta mengadakan siasatan segera tentang babak tangkapan yang dilakukan oleh polis bertopeng seolah-olah Dato' Seri Anwar penjenayah besar. Sedangkan, memang beliau hendak ke balai polis sebagaimana yang dikehendaki cuma pulang ke rumah sekejap untuk mendapatkan sokongan moral keluarganya," jelas beliau ketika ditanya tentang pertemuan dengan Perdana Menteri selepas tangkapan terhadap Dato' Seri Anwar dibuat.

Beliau yang ditemui di majlis perasmian Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Bakap, Haji Maktar Shapee berkata, sebenarnya Perdana Menteri sendiri terkejut bila diceritakan kepadanya cara tangkapan dibuat kerana beliau hanya mendapat laporan sahaja bahawa Dato' Seri Anwar di tahan.

Walaupun beliau mengatakan biar polis melakukan kerja mereka dan tidak mahu campur tangan namun beliau sebagai orang nombor satu negara harus mengetahui tindakan pasukan polis yang dianggap luar biasa.

"Sebagai seorang Perdana Menteri yang berwibawa dia kena tahu dari A hingga Z tangkapan dilakukan bukan sekadar dengar laporan Dato' Seri Anwar ditahan dari seseorang," katanya.

Tindakan itu, boleh menimbulkan tanggapan negara luar atau rakyat bahawa Malaysia bukan lagi mengamalkan demokrasi yang sejati tetapi menuju sebuah 'Negara Polis'.

Perdana Menteri kena sedar tambahnya, sebab dalam jangka masa panjang pelabur asing terus bimbang dengan tahap ekonomi negara ekoran senario politik yang dicipta oleh segelintir pemimpin yang rakuskan kuasa.

Sementara itu, Adun Sungai Bakap, Haji Maktar Shapee dalam ucapannya menaruh harapan yang tinggi pada masyarakat setempat agar bersama menjalinkan persefahaman dan kemaufakatan kerana dengan jalan itu sahaja negara terus dinamik.

Jesteru, Pusat Khidmat yang dibuka dari jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang setiap hari kecuali ada program rangka lawatan ke kampung-kampung beliau menegaskan, aduan yang diterima akan dipanjangkan ke pihak-pihak tertentu sebagai perantaraan antara kerajaan dan rakyat.

"InsyaAllah kita akan lakukan secara terbaik apa yang penting untuk rakyat. Kita cuba buat kelainan daripada Barisan Nasional (BN) dulu yang asyik pandang kroni daripada kepentingan rakyat jelata," jelasnya yang beroperasi di 1520 tingkat atas Jalan Stesyen, Sungai Bakap.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pulau Pinang, Haji Abdul Malek Abul Kasim, Adun Jawi, Tan Beng Huat dan Ahli Parlimen Nibung Tebal, Tan Tee Beng.

Anwar ulangi tidak benar ujian baru, guna DNA lama

0 comments

Ketika menemui para penyokongnya di sini, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pendiriannya untuk tidak menjalani semula ujian deoksiribonukleik asid (DNA) kerana DNA beliau yang diambil dahulu, termasuk yang terakhir pada 2004, masih boleh diguna pakai.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu memberitahu, tiada alasan kukuh mengapa beliau perlu menjalani ujian itu sekali lagi memandangkan data DNA tidak akan berubah walau tersimpan beribu tahun.

"Sepanjang enam tahun saya dipenjarakan berkaitan kes terdahulu, lima, enam kali darah saya diambil dan kali terakhir saya juga ada menjalani ujian DNA pada 2004.

"Sebenarnya sampel DNA yang baru tidak diperlukan tetapi data DNA yang diperlukan. Data tidak akan berubah walau 2000 tahun sekalipun. Jadi kalau sudah ada, saya tidak nampak apa sebabnya untuk saya serahkan sekali lagi," kata beliau, yang dibebaskan atas jaminan polis kelmarin, ketika berucap di Ibu Pejabat PKR di sini petang ini.

Anwar berkata, beliau turut mengikut nasihat peguam dan juga pakar dalam dan luar negara memandangkan bukan sahaja sampel DNA malah darah, kuku dan juga rambutnya turut pernah diambil.

Katanya, beliau juga tidak mahu gambar tubuh badannya diambil ketika beliau diperiksa di Hospital Kuala Lumpur tiga hari lepas kerana ia hanya akan menjatuhkan maruah dan mengaibkan dirinya.

"Sudah dua minggu tetapi saya tidak tengok lagi laporan yang dibuat Saiful Azlan Bukhari (individu yang mendakwa diliwat oleh Anwar), jadi secara teknikalnya saya tidak tahu apa kandungan pertuduhan dan dituduh di bawah apa," katanya.

Anwar berkata, kerana beliau yakin tidak bersalah, beliau menerima dirinya dibogelkan dan diperiksa seluruh badan.

"Cuma saya tidak mahu gambar saya dirakamkan. Pada tahun 1998 mereka sudah mengambil gambar saya dalam keadaan sebegitu yang mengaibkan maruah saya," katanya.

Hari ini, Hospital Kuala Lumpur (HKL) mempertahankan kenyataan asalnya bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak pernah ditelanjangkan apabila beliau menjalani pemeriksaaan perubatan Rabu lepas.

Sementara itu, Anwar berkata, meskipun beliau kini melalui suatu keadaan yang 'kritikal' namun agenda untuk bertanding dalam pilihan raya kecil akan ditetapkan dalam sedikit masa lagi.


Lagi jaminan Abdullah: Musa, Gani tidak campuri siasat liwat Anwar

0 comments

ANWAR Ibrahim ketika memberi ceramah di hadapan penyokong di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di Kuala Lumpur petang tadi. 

Selepas memberi jaminan keselamatan dua minggu lalu, hari ini Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan bahawa Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak akan terlibat dalam siasatan berhubung tuduhan liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, berikutan laporan oleh Anwar kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung tuduhan pemalsuan fakta melibatkan Musa dan Abdul Gani, maka adalah wajar bagi kedua-dua mereka dikecualikan daripada siasatan terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

"Ketua Polis Negara dan Peguam Negara tidak akan mengambil apa jua peranan berkaitan kes Anwar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan tawaran melanjutkan pengajian dan pembiayaan pelajaran kepada 350 pelajar MARA ke Island College of Technology (ICT) di Dewan Millenium Kepala Batas, di sini hari ini.

Rabu lepas Anwar memberikan keterangan kepada BPR di Putrajaya, yang meliputi tiga aspek utama iaitu pemalsuan fakta, penghilangan fakta dan pemalsuan laporan perubatan dari Jabatan Forensik, yang membabitkan Musa dan Abdul Gani.

Sebelum itu pada 1 Julai lepas, Anwar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, mendakwa Musa dan Abdul Gani terlibat memalsukan keterangan dalam siasatan kes beliau dipukul pada tahun 1998, oleh Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Abdul Gani ketika itu merupakan Timbalan Pendakwa Raya manakala Musa ialah pegawai penyiasat kes.

Anwar ditahan oleh sepasukan polis berhampiran rumahnya pada hari Rabu lepas dan dibebaskan dengan jaminan polis pada keesokkan harinya, bagi membantu siasatan berhubung laporan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, kepada polis pada 28 Jun lepas, mendakwa dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Abdullah telah pun memberikan jaminan keselamatan Anwar mencari perlindungan di rumah Duta Turki akhir bulan lalu dan ketika ditahan polis Rabu lalu.

Ketika ditanya sama ada Musa dan Abdul Gani akan digantung tugas berikutan laporan polis yang dibuat oleh Anwar terhadap mereka, Abdullah berkata, beliau tidak nampak keperluan untuk menggantung perkhidmatan mereka. 

Abdullah berkata, pegawai yang membuat siasatan ketika ini tidak akan merujuk hasil siasatan kes itu kepada mereka. 

"Pegawai itu tidak membuat sebarang rujukan kepada mereka dan (saya) tidak nampak (mengapa) mereka perlu digantung perkhidmatan," kata Abdullah dipetik
Bernama.

Mengenai cadangan kerajaan Pulau Pinang supaya kerajaan Persekutuan menggantikan kos pembinaan projek Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) dan monorel yang ditangguhkan sebanyak RM4.7 billion dalam bentuk pemberian wang tunai, Abdullah berkata kerajaan persekutuan tidak berhasrat untuk melaksanakan permintaan itu. 

"Tak ada cita-cita pun. Tidak ada cadangan untuk laksanakan permintaan seperti itu," katanya. 

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebelum ini meminta supaya kerajaan persekutuan memberikan wang tunai RM4.7 bilion sebagai ganti projek yang ditangguhkan pelaksanaannya semasa kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) barubaru ini.

Mengenai laporan kononnya UEM Berhad tidak lagi menjadi kontraktor bagi pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang, Abdullah meminta supaya perkara itu tidak dibincangkan secara terperinci, kerana kerajaan tetap akan melaksanakan pembinaannya. 

"Jangan pergi terlalu terperinci, walau apapun kerajaan akan tetap membina jambatan itu, itu sahaja yang ingin diketahui orang ramai," katanya.

Sementara itu merujuk kepada hasrat Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat untuk bertanding ke jawatan presiden parti itu berikutan penyandangnya, Datuk Seri Ong Ka Ting tidak mempertahankan jawatan itu, Abdullah berkata terpulang kepada anggota parti berkenaan untuk menentukan pemimpin mereka.