Featured

About this Blog

Polis berjaya sekat perhimpunan 'haram', tiada tangkapan dibuat

0 comments

Polis berjaya menyekat penganjuran perhimpunan 'haram' di luar bangunan Parlimen yang sepatutnya diadakan hari ini setelah mengadakan sekatan jalan raya sejak tiga hari lalu bermula Sabtu.

Perhimpunan itu dikatakan dirancang untuk memberi sokongan moral kepada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Notis usul itu dikemukakan Khamis lepas oleh Wan Azizah dan ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia pagi ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata sekatan di beberapa buah jalan utama menuju ke Parlimen dibuat berdasarkan maklumat yang diterima.

"Pihak polis menyiasat secara terperinci maklumat yang diterima sebelum mengambil keputusan untuk mengadakan sekatan lalu lintas," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Jelas beliau, polis menyedari tindakan sekatan lalulintas menyukarkan pengguna jalan raya untuk ke tempat kerja, namun langkah demikian perlu diambil bagi memastikan keselamatan awam terjamin.

"Hingga kini, polis masih menjalankan sekatan seperti biasa. Namun, kemungkinan besar kita akan hentikan sekatan pada lewat petang atau malam ini berdasarkan perkembangan semasa," katanya.

Antara jalan yang mengalami kesesakan teruk ialah Jalan Parlimen, Jalan Mahameru, Jalan Duta dan Jalan Kuching.

Ditanya samada wujudnya perhimpunan tanpa permit di tempat lain, beliau berkata hanya satu perhimpunan kecil dikenalpasti dilakukan di kawasan Pasar Seni kira-kira 2 petang tadi.

"Tiada perhimpunan dikesan di tempat lain kecuali di Pasar Seni. Namun, jumlah yang hadir adalah kecil iaitu 20 hingga 30 orang.

"Polis berjaya mengawal kumpulan itu dan tiada sebarang tangkapan dilakukan," katanya tentang perhimpunan yang turut melibatkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Muhammad Sabtu turut memberitahu media, tiada sebarang tangkapan dibuat sepanjang sekatan dilakukan sejak Sabtu lalu walaupun pihak polis banyak menerima cemuhan daripada orang ramai.

"Polis telah mengeluarkan arahan kepada semua anggota untuk jalankan sekatan mengikut lunas undang-undang. Kita tidak melakukan sekatan sewenang-wenangnya melainkan demi kepentingan awam," katanya.

Diminta mengulas mengenai penafian beberapa pemimpin parti pembangkang mengenai perhimpunan 'haram' ini, beliau berkata, "Itu perkara biasa, ini mainan mereka setelah melihat kekuatan polis.".

Beliau juga ditanya tentang persediaan pihak polis bagi mengawal keadaan semasa debat kenaikan harga minyak yang dijadualkan esok antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, polis akan menempatkan anggotanya bagi mengawal kemungkinan yang bakal berlaku.

Beliau turut menjelaskan kira-kira 20 peratus kekuatan anggota polis Kuala Lumpur digunakan dalam sekatan sejak tiga hari lalu.

Polis semalam mendapat perintah mahkamah untuk melarang orang ramai daripada menyertai perhimpunan di hadapan bangunan Parlimen hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sofian Md Yassin berkata perhimpunan itu adalah perhimpunan haram dan mengingatkan orang ramai yang menyertai, atau menganjur perhimpunan tanpa permit itu, akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Polis 1967. 

Anwar tak muncul, polis timbang beberapa tindakan susulan

0 comments

Ekoran kegagalan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk memberi keterangan berhubung isu liwat, polis mempertimbangkan beberapa pilihan tindakan ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Perkara ini diumumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Mohd Bakri Zinin. Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan pilihan-pilihan berkenaan.

"Saya tidak akan memberitahu apakah pilihan yang kita ada tetapi ini merupakan satu proses perundangan Malaysia," katanya.

"Anda fikir sendiri (pilihan)," kata beliau pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur pada pukul 3.30 petang tadi.

Menurut Bakri, Anwar telah dipanggil untuk memberi rakaman percakapannya di bawah seksyen 111 merupakan satu proses penyiasatan yang normal.

"Dalam proses penyiasatan kami, kami mengikuti proses perundangan yang sedia ada dan pemanggilan Anwar untuk memberikan rakaman percakapannya (sekyen 112) merupakan proses perundangan," jelas beliau.

Bakri berkata, proses perakam percakapan merupakan satu peluang dan luang yang diberikan oleh pihak polis kepada Anwar.

"Pihak polis telah memberi ruang yang secukupnya untuk Anwar memberi keterangan. Kami menunggu kira-kira 80 minit tetapi beliau tidak muncul sebagaimana yang telah dipersetujui Sabtu lalu," katanya.

Pada Sabtu lalu, Anwar telah bersetuju untuk datang ke IPK Kuala Lumpur untuk memberi keterangan berhubung isu liwat membabitkan bekas pembantu khasnya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada bulan lalu.

Pada 28 Jun lalu, bekas pembantu Anwar, Mohd. Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mendakwa Anwar telah meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini iaitu dua hari sebelum laporan itu dibuat.

Selain itu, Bakri berkata laporan-laporan di internet yang mengatakan bahawa Anwar telah menghantar kenyataan kepadanya merupakan satu khabar angin.

"Sepanjang hari ini saya berada di balai polis Bukit Aman dan saya tidak menerima sebarang surat sejak 6 pagi tadi," kata Bakri.    

Abdullah terima baik cadangan berbincang dengan PAS

0 comments

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerima baik cadangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berbincang dengan Umno mengenai isu-isu yang berkaitan dengan orang Melayu dan Islam.

Perdana Menteri berkata Umno sedia untuk berbincang dengan PAS untuk mewujudkan persefahaman supaya perbalahan yang berkait dengan Melayu dan Islam dapat dikurangkan.

"Jika ada persefahaman, maka kuranglah satu masalah yang melibatkan orang Melayu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan mengenai golongan miskin dan berpendapatan rendah di bandar, di sini hari ini.

Namun, katanya, Abdullah apa sahaja yang perlu dilakukan untuk kebaikan orang Melayu juga perlu mengambil kira kebaikan rakyat keturunan lain.

Dalam satu temubual dengan akhbar PAS, Harakah, baru-baru ini, Hadi mengakui bahawa terdapat individu PAS mengadakan perbincangan dengan individu Umno bagi menerokai kerjasama.

Mengenai tindakan polis mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi di ibu negara, Perdana Menteri berkata pasukan keselamatan hanya menjalankan tugas, terutamanya untuk mengurangkan gangguan kepada lalu lintas akibat tunjuk perasaan  anti kerajaan.

"Kumpulan yang mahu mengadakan tunjuk perasaan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk. Polis cuba menyekat kekacauan," katanya.

Abdullah berkata demonstrasi sebegitu tidak seharusnya berlaku dalam bandar raya kerana ia menjejaskan perniagaan dan aktiviti harian orang ramai.

"Pekedai mahu berniaga dan mereka mempunyai hak terhadap jaminan tidak ada kekacauan. Oleh itu, polis mengambil langkah memastikan kekacauan jalanan tidak berlaku.

"Pada masa yang sama, penunjuk perasaan kata mereka tidak sepatutnya dihalang. Namun, polis bertanggungjawab memastikan tidak ada kekacauan," katanya.

Abdullah berkata perhimpunan seperti itu sepatutnya diadakan di stadium supaya tidak berlaku gangguan kepada orang ramai.

Usul ketidakpercayaan ditolak, MP Pakatan Rakyat keluar dewan

0 comments

Seperti dijangkakan, speaker telah menolak usul ketidakpercayaan yang dibawa oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.

Tindakan speaker yang menolak untuk dibawa ke dewan usul tersebut telah menyebabkan Ahli-ahli Pakatan Rakyat bertindak bangun dan keluar dari persidangan yang sedang berlangsung.

Berikut adalah kronologi peristiwa

1.00 petang: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar daripada dewan hari ini sebagai protes terhadap speaker yang tidak membenarkan usul dibawa ke dalam dewan.

Sementara itu, Wan Azizah dalam sidang medianya sebentar tadi melahirkan kekesalannya atas perintah mahkamah yang dikeluarkan untuk menghalang Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada hadir ke parlimen.

11.35 pagi: Masih tiada sebarang maklumat mengenai keputusan usul yang dibawa oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

11.30 pagi: Wartawan yang menemui pimpinan Pakatan Rakyat di luar parlimen sebelum ini melahirkan rasa terkejut dan mengakui tidak mengetahui sebarang usaha dan rancangan untuk mengadakan demonstrasi oleh sesiapa. Sehingga kini, wartawan dari media alternatif masih tidak dibenarkan masuk.Dan

10.30 pagi: Dilaporkan pihak berkuasa dengan kekuatan seramai 200 anggota polis, 100 orang anggota berpakaian preman dan 4 trak FRU berkawal di sekitar parlimen. Sementara itu, wartawan dan jurugambar dari media alternatif termasuk dari agensi asing turut dihalang dan berlegar di luar bangunan parlimen

10.10 pagi: Media alternatif termasuk dari Harakah, Malaysiakini dan WebTVPAS dihalang dari masuk ke parlimen dengan alasan tidak mempunyai pas rasmi

9.45 pagi: Wartawan Harakah yang ingin membuat liputan sidang Dewan Rakyat yang berlangsung hari ini masih lagi menunggu giliran untuk masuk ke kawasan tersebut.

9.30 pagi: Wartawan Harakah dan petugas media lain telah 'dipaksa' berjalan kaki sejauh hampir sekilometer daripada pintu pagar Parlimen dan sebarang kenderaan media tidak dibenarkan masuk.

Sehingga berita ini ditulis, hanya kenderaan Ahli Parlimen sahaja yang dibenarkan masuk.

8.30 pagi: Jalan raya sekitar Kuala Lumpur dilaporkan sesak akibat beberapa sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak polis.

7.30 pagi: Pengguna jalan raya memberikan laporan bahawa pihak polis telah melakukan sekatan ke jalan-jalan yang menuju masuk ke Kuala Lumpur dan sekitar kawasan parlimen.

Sebelum ini,Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata langkah keselamatan itu terpaksa diambil selepas beliau mendapat maklumat satu demonstrasi besar-besaran akan diadakan oleh pihak pembangkang sama ada di dalam ataupun di luar kawasan Parlimen.

Ia ekoran tindakan Ketua Pembangkang Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail mengetuai 14 ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul ketidakpercayaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kepada Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang akan memutuskan sama ada menerima atau menolak usul itu, Isnin ini.

"Saya difahamkan, sama ada usul ini akan diterima ataupun ditolak, saya telah mendapat maklumat satu demonstrasi besar-besaran akan dibuat sama ada di dalam atau di luar kawasan Parlimen, Isnin ini,"dakwanya.

Nazri berkata pihak polis akan membuat kawalan yang ketat dan hanya akan membenarkan ahli Parlimen sahaja masuk ke dalam kawasan Parlimen.

"Saya telahpun menghubungi Speaker memaklumkan tentang tindakan yang saya ambil ini, semata-mata untuk keselamatan ahli-ahli Parlimen dan juga kawasan Parlimen.

"Keselamatan Anggota-anggota Parlimen dan keselamatan kawasan Parlimen adalah diutamakan dan kita tidak mahu apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku dalam kawasan Parlimen," katanya lagi.

Ditanya sama ada pihak media yang membuat liputan akan turut terjejas dengan langkah keselamatan tersebut, Nazri berkata perkara itu adalah terpulang kepada pihak polis.

"Media, memanglah mereka bertugas. Jadi apa juga tindakan yang diambil oleh pihak polis itu terpulang kepada budi bicara mereka kerana akhirnya polis yang bertanggungjawab di atas keselamatan di kawasan itu," katanya