Featured

About this Blog

Nurul Izzah muak dengan tuduhan liwat ke atas bapanya

0 comments

Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, berkata beliau sudah muak dengan tuduhan liwat yang dilemparkan ke atas bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan menumpukan perhatian terhadap tugas dan tanggungjawabnya sebagai seorang wakil rakyat. 

“Saya sudah muak (dakwaan liwat membabitkan Anwar). Sepuluh tahun (keluarga) terpaksa menghadapi fitnah sedemikian,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan ulang tahun ke-25 Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di sini hari ini. 

Beliau berkata, sungguhpun bapa serta keluarganya terpaksa sekali lagi mengharungi kemelut yang sama seperti 10 tahun lalu, namun ini tidak akan mematahkan semangatnya untuk menjalankan tugas serta tanggungjawabnya sebagai seorang wakil rakyat.

Nurul Izzah berkata demikian ketika diminta mengulas tuduhan liwat yang didakwa dilakukan oleh Anwar, yang merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat. 


Pada 28 Jun lalu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, iaitu pembantu Anwar, membuat laporan di pondok polis Hospital Kuala Lumpur mendakwa diliwat beberapa kali oleh Anwar dengan kali terakhir pada 26 Jun lalu di sebuah kondominium di Damansara, di sini. 

Nurul Izzah berkata, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan itu dan berharap ia akan dilakukan secara terperinci serta adil kepada semua pihak.

Akuan bersumpah Balasubramaniam yang baru

0 comments

"Saya ingin menyatakan bahawa tidak pernah pada bila-bila masa (Abdul) Razak (Abdullah) Baginda memberitahu saya yang beliau diperkenalkan kepada Altantuya Shaaribu oleh seorang VIP dan pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya bahawa  Datuk Seri Najib telah mengadakan hubungan seks dengan Altantuya Shaaribu dan beliau (Altantuya) sanggup mengadakan hubungan seks luar tabii.
    
"Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib mengarahkan Razak Baginda untuk menjaga Altantuya Shaaribu kerana beliau tidak mahu dia (Altantuya) menganggunya kerana beliau ialah Timbalan Perdana Menteri.
    
"Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda dan atau Altantuya Shaaribu ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak, bersama-sama dengan Razak Baginda dan Altantuya Shaaribu telah berjumpa dan bersama-sama makan malam di Paris;
    
"Tidak pernah pada bila-bila masa Altantuya Shaaribu ada memberitahu saya yang beliau meminta wang sebanyak US$500,000 sebagai komisen bagi bantuannya dalam urusan pembelian kapal selam di Paris;
    
"Tidak pernah pada bila-bila masa pun Razak Baginda dan/atau Altantuya Shaaribu memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak berjumpa dengan Altantuya Shaaribu di Singapura;
    
"Tidak pernah pada bila-bila masa pun Altantuya Shaaribu ada memberitahu saya yang beliau mahu saya mengaturkan untuk beliau berjumpa dengan Datuk Seri Najib Tun Razak;
    
"Tidak pernah pada bila-bila masa saya ada memberitahu polis semasa penyiasatan mereka mengenai sebarang perhubungan antara Datuk Seri Najib Tun Razak dan Altantuya Shaaribu kerana perhubungan itu tidak pernah wujud, pada pengetahuan saya. Oleh yang demikian, kenyataan yang saya tandatangani di hadapan polis sudah selesai;
    
"Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang beliau telah menghantar SMS kepada Datuk Seri Najib pada malam beliau ditahan; dan 
    
"Tidak pernah pada bila-bila masa Razak Baginda ada memberitahu saya yang Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghantar SMS kepadanya pada hari beliau ditahan yang menyatakan beliau (Najib) akan berjumpa dengan KPN (Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan) pada hari berkenaan dan masalah itu akan diselesaikan dan meminta Razak Baginda supaya terus tenang."

Akuan berkanun Balasubramanian itu diperakukan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah Zainal Abidin Muhayat, yang mempunyai alamat firma guaman Zul Rafique & Partner- firma guaman milik Zulkifly Rafique, yang merupakan saudara lelaki Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique.

Polis akan siasat dua akuan bersumpah Balasubramaniam

0 comments

Polis akan menjalankan siasatan terhadap dua akuan bersumpah yang dibuat oleh penyiasat persendirian P. Balasubramaniam walaupun beliau menarik balik tuduhan yang mengaitkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis akan menyiasat akuan bersumpah yang dibuat oleh Balasubramaniam pada 1 Julai lepas dan begitu juga terhadap akuan bersumpah yang bertarikh hari ini.

"Polis akan siasat kedua-duanya. Yang semalam kita siasat dan yang ditarik (balik) hari ini juga kita siasat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Balasubramaniam, yang juga saksi dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya, semalam mengedarkan akuan bersumpah bertarikh 1 Julai yang mengandungi beberapa butiran yang didakwanya menunjukkan hubungan awal antara Altantuya dan Najib.

Bagaimanapun dalam akuan bersumpahnya bertarikh hari ini, Balasubramaniam menarik balik seluruh isi kandungan dalam akuan bersumpahnya sebelum ini.

Ismail berkata polis akan tetap menyiasat akuan bersumpah pertama Balasubramaniam kerana beliau (Balasubramaniam) mungkin mempunyai niat yang terselindung.

"Mungkin ada niat untuk mengaburi mata orang ramai, jadi kita kena siasat keseluruhannya," katanya.

Najib dalam sidang akhbar semalam, sekali lagi menegaskan yang beliau tidak pernah mengenali Altantuya dan menyifatkan tuduhan mengaitkan beliau dengan wanita Mongolia yang mati dibunuh itu sebagai "pembohongan dahsyat".

Najib menegaskan cubaan terbaru itu untuk mengaitkan beliau dengan jenayah itu adalah "rekaan semata-mata, berniat jahat dan berunsur fitnah untuk mencemarkan imejnya."